Selasa, 8 Oktober 2019 | 6:22pm
Sivasangari (kanan) kalah 12-10, 9-11, 6-11 dan 12-14 kepada pemain nombor tujuh dunia, Sarah-Jane Perry dari England. - Twitter @USOpenSquash

Kempen Malaysia pada skuasy Terbuka AS berakhir

KUALA LUMPUR: Kempen Malaysia pada Kejohanan Skuasy Terbuka Amerika Syarikat berakhir selepas satu-satunya pemain yang masih bersaing, S Sivasangari tumpas pada pusingan ketiga kejohanan di Philadelphia, Amerika Syarikat pada Isnin (Selasa di Malaysia).

Pemain ranking ke-48 dunia itu yang mempamerkan aksi hebat dengan menewaskan pemain berpengalaman pada dua pusingan awal, gagal meneruskan momentum kemenangannya selepas kalah 12-10, 9-11, 6-11 dan 12-14 kepada pemain nombor tujuh dunia, Sarah-Jane Perry dari England pada perlawanan pusingan ketiga itu pada acara Jelajah Dunia PSA bertaraf Platinum di Daskalakis Athletics Center di Drexel University, menurut laman sesawang kejohanan www.usopensquash.com.

Untuk rekod, Sivasangari yang memenangi gelaran Racquet Club Pro Series dan Terbuka Australia, mengalahkan Coline Aumard dari Perancis pada pusingan pembukaan pada Sabtu sebelum melakar kejutan menyingkirkan pemain ranking ke-13 dunia, Alison Waters dari England pada pusingan kedua pada Ahad.

Sarah-Jane akan bertemu pemain nombor satu dunia, Raneem El Welily dari Mesir pada peringkat suku akhir pada lewat Selasa.

Pemain pilihan utama, Raneem berjaya mara ke pusingan seterusnya apabila mengetepikan pemain sepasukan, Yathreb Adel dengan 11-3, 11-5 and 11-4 pada perlawanan pusingan ketiga.

Malaysia tidak menghantar wakil bagi kategori lelaki pada kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$185,000 itu. - BERNAMA

Berita Harian X