Sabtu, 5 Oktober 2019 | 6:39pm
PENGARAH Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Wong Choong Hann (dua kiri) bersama pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia (kiri), beregu campuran negara, Shevon Lai Jemie dan Goh Soon Huat (kanan) ketika sidang media pada Undian Badminton Piala Dunia di Ibu Pejabat BWF, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Aswadi Alias

Janji Choong Hann

 

KUALA LUMPUR: Wong Choong Hann mula terasa 'bahang' dalam melaksanakan tanggungjawabnya berbaki kurang setahun sebelum Sukan Olimpik Tokyo 2020 bermula selain Projek 24 yang diperkenalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) baru-baru ini.

Pengarah Kejurulatihan BAM itu diberi kuasa penuh sebagai 'supremo' khususnya bagi mencapai sasaran Projek 24 iaitu meraih pingat emas Sukan Olimpik Paris 2024 dan mara ke final Piala Thomas.

Choong Hann yang juga bekas pemain perseorangan lelaki negara, berkata ketika mula menerima tawaran untuk berkhidmat dengan BAM, dia sudah menjangkakan cabaran bakal ditempuhinya.

Bagaimanapun, perkara itu tidak mematahkan semangatnya yang berjanji akan bekerja keras bagi membantu meningkatkan prestasi pemain negara yang ketika ini dianggap dalam zon bahaya.

"Memang dari mula lagi, ini bukan tugas mudah. Saya perlu terus bekerja keras dan berharap pemain mendapat keputusan seperti diinginkan.

"Untuk Olimpik 2020, ia bukan mudah. Pada awal tahun, kita sendiri tidak jangka yang mana pemain perseorangan lelaki akan lebih menonjol berbanding acara lain.

"Semua orang dapat melihat keputusan dicapai pemain negara, kami tidak boleh menyembunyikannya. Kalau pemain itu, bagus...saya akan cakap bagus kalau tidak bagus...memang tidak bagus.

"Kita tidak boleh tipu diri sendiri. Jadi, apa yang saya mahu lakukan adalah memastikan pemain sedar dengan tanggungjawab mereka dan dalam masa sama kami jurulatih juga akan melakukan yang terbaik bagi membantu mereka mengharungi tempoh sukar ini," katanya yang mula bersama BAM hujung tahun lalu.

 

 

Berita Harian X