Isnin, 30 September 2019 | 7:08pm

Skuad badminton remaja atasi Russia

 

KUALA LUMPUR: Skuad negara bermula langkah kanan apabila menewaskan Russia 3-2 dalam aksi sulung Kumpulan B saingan berpasukan campuran Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Kazan, Russia.

Walaupun tuan rumah tampil sebagai pilihan kelima, namun itu jelas tidak menimbulkan rasa gentar dalam kalangan pemain negara bagi mencapai misi muncul juara kumpulan untuk layak ke suku akhir.

Dalam perlawanan itu, mata pertama Malaysia disumbangkan beregu lelaki Yap Roy King-Oo Jhy Dar yang menundukkan Egor Kholkin-Georgii Lebedev 21-11, 21-23, 21-13.

Bagaimanapun, Russia bangkit menyamakan kedudukan menerusi perseorangan wanita, Anastasiia Shapovalova selepas dia menang ke atas K Letshanaa 21-19, 17-21, 17-21.

Skuad remaja negara di bawah bimbingan Kwn Yoke Meng cemas seketika apabila giliran tuan rumah mendahului selepas pemain perseorangan lelaki mereka, Georgii Karpov menundukkan Shahqewm Shahyar 14-21, 14-21 bagi menyumbang mata kedua.

Beregu wanita negara, Low Yee Yuan-Valeree Siow kembali menceriakan kem negara apabila menyumbangkan mata untuk mengikat kedudukan 2-2 hasil kemenangan ke atas Viktoria Kozvreva-Shapovalova 22-24, 21-16, 21-11.

Mata kemenangan Malaysia hadir menerusi beregu campuran, Roy King-Gan Jing Err yang mengetepikan cabaran Egor Kholkin-Mariia Sukhova 15-21, 11-21.

Skuad negara akan meneruskan aksi Kumpulan B menentang Macau lewat malam ini waktu Malaysia dan dijangka tidak berdepan masalah untuk melakar kemenangan kedua ke atas lawan itu.

Selain Russia dan Macau, Hong Kong serta Kanada turut diundi dalam Kumpulan B.

Berita Harian X