Isnin, 30 September 2019 | 6:29pm
PENGARAH Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia, Wong Choong Hann. - Foto Owee Ah Chun

Ambil peluang layak ke Olimpik - Choong Hann

KUALA LUMPUR: Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia, Wong Choong Hann tetap mahu melihat barisan pemain muda negara mengambil peluang yang ada untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Katanya, walaupun peluang untuk meraih pingat tampak sukar namun pengalaman beraksi pada temasya terbesar dunia itu cukup penting bagi merealisasikan Projek 24 diperkenalkan BAM baru-baru ini.

“Kami memang mahukan pemain muda yang kami anggap sebagai masa depan badminton negara untuk sekurang-kurangnya layak dan merasai pengalaman beraksi di Olimpik.

“Walaupun peluang menang pingat sukar tetapi itu tidak bermakna kami tidak mahu mereka tidak layak. Jadi, mereka perlu bekerja keras dan cuba layak ke Olimpik tahun depan.

“Setiap pengalaman beraksi dalam saingan tertinggi diambil kira. Gunakan peluang yang ada ini sebaiknya kerana ia penting bagi kita merealisasikan perancangan kita (Projek 24),” kata Choong Hann kepada BH Sukan.

BAM baru-baru ini menerusi Pengerusi Kejurulatihan dan Latihan (C&T), Datuk Kenny Goh memperkenalkan Projek 24 dengan matlamat utama memenangi pingat emas Sukan Olimpik Paris 2024 selain mara ke final Piala Thomas 2024.

Fokus persiapan bagi projek berkenaan adalah ke atas barisan pemain muda.

Berdasarkan ranking semasa pusingan kelayakan Sukan Olimpik 2020, tiga wakil BAM hampir pasti beraksi di Tokyo diketuai perseorangan lelaki, Lee Zii Jia, perseorangan wanita, Soniia Cheah dan beregu wanita, Vivian Hoo-Yap Cheng Wen.

Perebutan tempat bagi acara beregu lelaki dan beregu campuran kini membabitkan saingan tiga penjuru antara wakil BAM dengan pasangan profesional.

Bagi beregu lelaki, pemenang perak Olimpik Rio 2016, Goh V Shem-Tan Wee Kiong mendahului kedudukan ranking kelayakan diikuti dua pasangan BAM, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Begitu juga saingan beregu campuran yang mana pasangan profesional, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dilihat di landasan tepat untuk mempertahankan perak dimenangi empat tahun lalu tetapi diekori Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jamie.

Choong Hann tidak menolak persoalan membabitkan beregu lelaki yang mana pasangan yang layak hanya akan diketahui pada akhir pusingan kelayakan dijadual berakhir pada hujung April tahun depan.

Berita Harian X