Ahad, 29 September 2019 | 7:51pm
Aksi pemain skuasy, Rachel Arnold (kanan) ketika menentang Low Wee Werm (kiri) dalam kategori wanita pada pusingan akhir Kejohanan Squash Malaysia Open di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Rachel kejutkan Wee Wern

 

KUALA LUMPUR: Pemain skuasy wanita negara, Rachel Arnold mengejutkan juara bertahan, Low Wee Wern 3-2 dalam saingan sengit final Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia di Pusat skuasy Nasional, Bukit Jalil sebentar tadi. 

Dalam aksi final itu, Rachel yang mendahului pada set pertama, bagaimanapun diberi tentangan sengit pada set berikutnya oleh Wee Wern hingga menyebabkan pemain berumur 23 tahun itu ketinggalan 2-1.

Selepas turut mengejutkan pemain pilihan pertama dari Mesir, Rowan Elaraby pada separuh akhir semalam, Rachel mempamerkan aksi hebatnya untuk bangkit mencatat kemenangan terbesar dalam kariernya apabila menundukkan Wee Wern yang juga pilihan kedua dengan 11-7, 11-13, 10-12, 11-8 dan 11-5.

"Ia bukanlah mudah bagi saya kerana perlu memberikan tekanan pada setiap permainan dengan meningkatkan tempo permainan. 

"Saya berharap kejayaan ini dapat banyak membantu saya membaiki ranking semasa (46) kerana sudah berada di situ untuk beberapa bulan," katanya yang membawa pulang AS$3,000 (RM12,579). 

Kejayaan berkenaan lebih manis buat Rachel apabila dia juga dapat membalas dendam kekalahan kepada Wee Wern dalam final Kejohanan Skuasy Kebangsaan, Julai lalu seterusnya memperoleh gelaran pertama selepas kali terakhir dua tahun lalu pada Jelajah Skuasy Malaysia di Kuala Lumpur.

 

 

Berita Harian X