Ahad, 29 September 2019 | 5:14pm
Pasangan Aaron Chia-Soh Wooi Yik memiliki pakej lengkap untuk bergelar jaguh dalam acara beregu lelaki. - NSTP/Syarafiq Abd Samad

Aaron-Wooi Yik perlu kuatkan fizikal

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Jalani Sidek menyifatkan Aaron Chia-Soh Wooi Yik memiliki pakej lengkap untuk bergelar jaguh dalam acara beregu lelaki.

Bekas pakar beregu kebangsaan itu bagaimanapun, berkata masalah prestasi tidak menentu yang dialami pasangan muda itu adalah disebabkan kelemahan dalam aspek ketahanan fizikal.

"Saya suka dengan permainan Aaron-Wooi Yik tetapi apa yang berlaku ke atas mereka ketika ini adalah disebabkan faktor fizikal.

"Apa yang mereka perlu lakukan adalah kekuatan fizikal yang boleh digabungkan dengan pengalaman yang mereka dapat beraksi dalam setiap kejohanan.

"Kalau fizikal tidak bagus, bagaimana mereka mahu menang. Kita boleh lihat sendiri kelemahan fizikal mereka yang mana apabila bermain sehingga set penentuan, mereka sudah lemah.

"Apabila fizikal sudah kuat, baru mereka boleh gunakan kemahiran yang mereka ada. Mana boleh mereka mahu mencatat kemenangan semata-mata hanya dengan menggunakan kemahiran," kata Jalani kepada BH Sukan.

Beliau mengulas mengenai prestasi tidak menentu dialami Aaron-Wooi Yik biarpun pada awal tahun ini mereka berjaya mencipta kejutan mara sehingga final Seluruh England pada Mac.

Kemerosotan prestasi dialami kedua-dua pemain itu menjejaskan kedudukan ranking mereka apabila suatu ketika berjaya menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik dunia tetapi jatuh di kedudukan ke-13.

Masa semakin suntuk buat Aaron-Wooi Yik dalam pemburuan tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, mereka kini perlu bersaing dengan pasangan profesional, Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang mempamerkan kebangkitan terutama selepas menjuarai Terbuka Taiwan, awal bulan ini.

Setiap negara hanya dibenarkan mempunyai dua wakil beregu lelaki sekiranya masing-masing berada dalam kelompok lapan terbaik sebaik tamat pusingan kelayakan, April tahun depan.

 

 

Berita Harian X