Selasa, 24 September 2019 | 12:28am
Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia. - NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

Zii Jia teruja nanti tiga jaguh dunia

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia terpaksa menelan hakikat cabarannya pada saingan Terbuka Korea yang bermula Rabu ini penuh dengan ranjau dan berliku.

Dengan status kejohanan bertaraf Jelajah Dunia BWF Super 500 selain mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 menjadi taruhan, pemain berusia 21 tahun itu nyata tidak boleh lari daripada bertemu lawan yang jauh lebih hebat di pusingan awal.

Bermula di pusingan pertama, Zii Jia sudah berdepan cabaran sukar apabila dia akan membuka tirai saingan menentang pemain berpengalaman Indonesia, Tommy Sugiarto.

Jika menang, juara dunia 2017, Viktor Axelsen dari Denmark dijangka menantinya untuk perebutan tempat ke suku akhir.

Sekali pun menang ke atas Axelsen, dia dijangka pula bertemu pemain nombor satu dunia dari Jepun, Kento Momota yang muncul juara Terbuka China, semalam di suku akhir.

Bagi Zii Jia, biarpun undian tidak menyebelahinya, namun pertembungan dengan tiga bintang utama dunia sudah cukup untuk membuatkan dirinya teruja terutamanya dalam usaha menguji dan menilai tahap permainannya.

"Di pusingan pertama lagi, saya perlu menentang Tommy. Semua pun tahu, jika kejohanan bertaraf Super 500 dan ke atas, ia akan menjadi cabaran yang sukar dalam setiap perlawanan.

"Saya sudah bersedia untuk menghadapi kejohanan ini. Diharapkan saya mampu menghasilkan keputusan yang baik pada Terbuka Korea kali ini," kata Zii Jia kepada BH Sukan.

Tidak dinafikan, Zii Jia sudah mempamerkan peningkatan yang positif dalam permainannya dan kini sudah mampu untuk memberi tentangan sengit kepada pemain utama dunia.

Ia terbukti ketika dia mengheret bekas juara dunia, Chen Long sehingga set penentuan pada saingan Terbuka China, minggu lalu.

Dalam perlawanan itu, dia terpaksa akur dengan kekalahan 16-21, 21-12, 21-23 dalam tempoh sejam 19 minit.

Berita Harian X