Ahad, 22 September 2019 | 6:33pm
PEMAIN perseorangan wanita negara, S Kisona. - Foto Mohd Yusni Ariffin
PEMAIN perseorangan wanita negara, S Kisona. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Kisona perlu cabar diri: Seu Bock

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan wanita negara S Kisona dicabar untuk membuktikan kemampuannya di kejohanan lebih tinggi selepas berjaya merangkul dua gelaran dalam saingan Siri Antarabangsa dalam tempoh dua bulan.

Selepas menjuarai Siri Antarabangsa Terbuka Hellas bulan lalu, pemain berusia 20 tahun itu terus cemerlang apabila merangkul kejuaraan di Siri Antarangsa Sydney, hari ini.

Kisona muncul juara selepas menumbangkan pemain Jepun, Shiori Ebihara 21-18, 21-13 dalam aksi final.

Ketua jurulatih wanita negara Datuk Tey Seu Bock berkata, dia gembira dengan pencapaian dilakar anak buahnya itu namun mahu Kisona mencabar diri sendiri untuk menghasilkan keputusan positif di peringkat lebih tinggi.

"Kejayaan ini sudah pastinya sesuatu yang positif buat Kisonan terutama selepas terpaksa berehat panjang susulan masalah kecederaan. Sedikit sebanyak dua kejuaraan yang diraihnya mampu meningkatkan lagi tahap keyakinannya,” kata Seu Bock.

"Selepas ini saya mahu dia mencabar diri untuk bersaing di peringkat kejohanan yang lebih tinggi. Saya tidak mahu hanya tertumpu kepada kejohanan bertaraf Siri Antarabangsa."

Kisona selepas ini akan beraksi dalam saingan Jelajah Dunia BWF Super 100 di Masters Indonesia bermula 1 hingga 6 Oktober ini.

"Sememangnya saya berharap dapat beraksi dengan baik di Masters Indonesia. Saya berjanji akan memberi aksi terbaik seperti mana yang saya lakukan dalam aksi final hari ini," kata Kisona yang menghuni ranking ke-149 dunia.

Sementara itu, nasib tidak menyebelahi dua lagi wakil negara iaitu perseorangan lelaki, Lim Chong King dan beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah apabila terpaksa berpuas hati dengan status naib juara di Sydney.

Chong King yang turut menjuarai kejohanan di Hellas terpaksa akur apabila tewas kepada pemain Jepun, Yusuke Onodera 8-21, 15-21 manakala Pearly-Thinaah tunduk di tangan pasangan Taiwan, Cheng Yu Chieh-Tseng Yu-Chi 17-21, 21-17, 13-21.

Berita Harian X