X
Rabu, 18 September 2019 | 6:55pm
PASANGAN beregu lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi. NSTP/Syarafiq Abd Samad.
PASANGAN beregu lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi. NSTP/Syarafiq Abd Samad.

Yew Sin-Ee Yi ke pusingan kedua Terbuka China

KUALA LUMPUR: Pasangan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi muncul penyelamat maruah beregu lelaki Persatuan Badminton Malaysia (BAM) apabila mara ke pusingan kedua Terbuka China sebentar tadi.

Yew Sin-Ee Yi berjaya menumbangkan wakil Korea Selatan, Kim Gi Jung-Lee Yong Dae 20-22, 21-13, 21-13 dalam aksi pusingan pertama di Pusat Sukan Olimpik Beijing.

Ee Yi menjelaskan dia berpuas hati dengan aksi keseluruhan kecuali pada set pertama. 

“Set pertama memang kami sudah mendahului selepas itu mereka mengejar dan kami juga terlalu gopoh untuk mencari mata,” katanya.

Selepas ini, pasangan itu akan berdepan pilihan kelapan dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen pada pusingan kedua.

Astrup-Skaarup Rasmussen mara selepas mengalahkan Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan (Taiwan) 21-14, 21-11.

Terdahulu, satu lagi beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik kalah kepada pilihan kelima dari Jepun, Hiroyuki Endo-Yuta Watanabe 14-21, 17-21.

Semalam gandingan beregu lelaki, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani tumpas di tangan pilihan keempat juga dari Jepun, Takeshi Kamura-Keigo Sonoda. 

Sementara itu, beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai mara ke pusingan kedua selepas menumpaskan Nipitphon Phuangphuapet-Savitree Amitrapai 21-16, 19-21, 21-18.

Perseorangan wanita negara, Soniia Cheah pula terpaksa akur dengan kehebatan pilihan kedua dari Taiwan, Tai Tzu Ying apabila kalah 9-21, 16-21.

Berita Harian X