Isnin, 9 September 2019 | 12:03pm
RAFAEL Nadal

Nadal rai kejayaan Terbuka AS penuh emosi

NEW YORK: Rafael Nadal menyifatkan pertarungan final Terbuka Amerika Syarikat (AS) pagi tadi adalah paling beremosi sepanjang 18 tahun kariernya, namun tetap meraikan kemenangan dramatik menewaskan Daniil Medvedev untuk merangkul gelaran Grand Slam ke-19.

Pemain kidal berusia 33 tahun itu meraih kejuaraan keempat Terbuka AS di gelanggang keras New York, mendahului dua set sebelum menewaskan pemain Russia yang juga pilihan kelima dengan keputusan 7-5, 6-3, 5-7, 4-6, 6-4.

Perlawanan itu berlangsung selama empat jam 50 minit.

“Saya mempunyai beberapa perlawanan di luar kawalan,” kata Nadal.

“Cara dia beraksi untuk berikan saingan mengubah rentak perlawanan adalah luar biasa.”

Nadal yang meletakkan tangan di kepalanya kelihatan beremosi selepas kemenangan epiknya apatah lagi ketika video yang memberi penghormatan kepada dirinya selaku juara Grand Slam ditayangkan di Stadium Arthur Ashe.

“Ia menjadi salah satu malam beremosi dalam karier tenis, dengan video, dengan kamu semua,” kata Nadal kepada penonton yang menyorak namanya beberapa kali dalam final yang sengit itu.

“Tiada stadium lain di dunia ini yang bertenaga daripada stadium ini.”

Selain Terbuka Perancis yang dimenangi buat kali ke-12 pada Jun lalu, Terbuka AS adalah gelaran Grand Slam yang kerap dijuarai dalam kariernya.

“Ia amat penting,” kata Nadal yang dimahkotakan gelaran Terbuka AS buat kali keempat.

“Kemenangan ini memiliki banyak makna.

“Dan cara ia terjadi. Sukar untuk mengawal permainan,” katanya. – AFP

799 dibaca
Berita Harian X