Ahad, 8 September 2019 | 6:25pm
Para pemain dan jurulatih pasukan Bagan BC meraikan kejayaan muncul juara sulung Divisyen 3 Junior Purple League 2019.

Bagan BC juarai Divisyen 3 JPL 2019

IPOH: Kelab Badminton Badminton (Bagan BC) muncul juara saingan badminton Divisyen 3 Junior Purple League (JPL) 2019 selepas memenangi semua perlawanan yang berlangsung selama dua hari sejak semalam.

Kejohanan yang berlangsung di Sports Arena Falim, Ipoh itu menyaksikan Bagan BC pada satu ketika berada di tempat kedua carta sebelum menewaskan Cheras TP BC, Labuan DSBC dan Bayan Lepas BC.

Bagan BC meneruskan rentak cemerlang mereka hari ini dengan menundukkan Segamat Spiritual BC dan Seremban City BC sekaligus mengesahkan kejuaraan dan slot automatic ke Divisyen 2 musim depan.

Pencabar terdekat, Cheras TP BC terpaksa akur apabila sekadar muncul naib juara manakala Segamat Spiritual BC menamatkan saingan di tempat ketiga.

Selaku juara, Bagan BC membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500 dan menempah slot ke Divisyen 2 musim depan sementara Cheras TP BC dan Segamat Spiritual BC masing-masing membawa pulang wang tunai RM1000 dan RM800.

Ketua jurulatih Bagan BC, Alif Razlan yang sudah bersama dengan pasukan itu selama lapan tahun mendedikasikan kejayaan pasukannya kepada jurulatih dari Indonesia Janu Saputra yang turut membimbing pasukan berkenaan sejak lima tahun yang lalu.

“Janu bersama kami sejak lima tahun yang lalu dan memberi kesan kepada peningkatan prestasi pemain dari aspek kemahiran dan kecergasan.

“Untuk kejohanan ini, kami membuat persiapan dengan mengadakan latihan pusat selama 2 bulan di PIBA (Persatuan Badminton India Penang) yang mana para pemain bernaung di bawah persatuan ini.”

JPL 2019 akan berehat bagi memberi laluan kepada sambutan Hari Malaysia dan akan kembali pada 21 dan 22 September ini di lokasi yang sama bagi aksi Divisyen 1 dan Divisyen 2.

448 dibaca
Berita Harian X