Khamis, 5 September 2019 | 7:03pm
LEE Zii Jia

Zii Jia kempunan pertahan gelaran

KUALA LUMPUR: Pemain berseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia gagal dalam misinya untuk mempertahankan kejuaraan Terbuka Taiwan apabila tumbang di pusingan kedua, hari ini.

Pemain berusia 21 tahun itu tewas dalam pertarungan straight set 21-16, 22-20 kepada pemain Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito dalam tempoh 41 minit pada aksi di Taipei Arena.

Tahun lalu, Zii Jia merekodkan pencapaian terbesar dalam kerjayanya apabila muncul juara Terbuka Taiwan selepas menumbangkan pemain nombor satu tuan rumah, Chou Tien Chen dalam aksi final.

Begitupun, kehampaan Zii Jia ditebus seorang lagi pemain perseorangan lelaki negara, Cheam June Wei yang mengesahkan kemaraan dengan menewaskan pemain tuan rumah, Lin Yu Hsien.

June Wei yang memulakan kempennya di Taiwan di pusingan kelayakan menang dengan keputusan 17-21, 21-18, 21-18 dalam pertarungan panjang selama 1 jam 11 minit.

Dalam pada itu, gandingan beregu campuran nombor satu negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying terpaksa bekerja keras sebelum mengesahkan kemaraan.

Pilihan pertama kejohanan itu dipaksa mengharungi permainan tiga set sebelum menundukkan pasangan Vietnam, Do Tuan Duc-Pham Nhu Thao 21-17, 19-21, 21-17 dalam tempoh 51 minit.

Turut mara ialah pasangan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang menundukkan gandingan Indonesia, Wahyu Nayaka Arya- Ade Yusuf Santoso dengan keputusan 21-17, 21-15.

Begitupun satu lagi gandingan beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheah Yee See kandas apabila tumbang kepada pasangan Indonesia, Hafiz Faizal-Gloria Emanuelle Widjaja dengan keputusan 21-18, 21-13.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X