Khamis, 5 September 2019 | 10:39am
Belinda Bencic menewaskan pencabar dari Croatia, Donna Vekic 7-6 (7/5), 6-3 dalam saingan suku akhir Terbuka Amerika Syarikat, pagi tadi. - Foto AFP

Belinda Bencic hampiri peluang ke final Terbuka AS

NEY YORK: Pemain pilihan ke-13 dari Switzerland, Belinda Bencic mara ke separuh akhir Grand Slam buat pertama kali selepas menewaskan pencabar dari Croatia, Donna Vekic 7-6 (7/5), 6-3 dalam saingan suku akhir Terbuka Amerika Syarikat (AS), pagi tadi.

Belinda dijadual bertemu pemenang perlawanan membabitkan pilihan ke-15 dari Kanada, Bianca Andreescu atau Elise Mertens dari Belgium, pilihan ke-25.

Salah seorang daripadanya akan muncul kali pertama pada final Grand Slam di Stadium Arthur Ashe awal pagi Ahad ini, yang menyaksikan pemenang Grand Slam kali pertama menang tiga daripada empat tahun terakhir.

“Saya mengimpikan saat sebegini sejak kecil jadi saya amat seronok,” kata Belinda.

Dengan kemenangan terbaru itu, Belinda memastikan dia kembali ke kelompok 10 terbaik dunia buat kali pertama sejak Jun 2016.

Sebelum ini, rankingnya merudum ke tangga ke-328 selepas beberapa kecederaan dan pembedahan pergelangan tangan kiri pada 2017.

Namun pemain Switzerland berusia 22 tahun itu memulakan tahun ini di tangga ke-55 dan melonjak sejak itu, menang kejuaraan karier WTA ketiga di Dubai Februari lalu.

“Menharungi saat sukar, ia membantu saya melihat tenis dari sudut berbeza,” kata Belinda.

“Bagi saya perspektif berubah dan saya kini lebih seronok bermain tenis.”

Belinda, yang tidak pernah berdepan Bianca atau Elise, membaiki rekod kemenangan 3-1 ke atas rakan karib Vekic, yang mengalahkannya pada Terbuka Perancis tahun ini. - AFP

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X