Khamis, 29 Ogos 2019 | 8:59pm
PASANGAN beregu nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik. - Foto Luqman Hakim Zubir
PASANGAN beregu nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik. - Foto Luqman Hakim Zubir

Aaron-Wooi Yik sedar kekuatan Indonesia, Thailand

 

KUALA LUMPUR: Pasangan beregu nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tampak berpijak di bumi nyata apabila bercakap soal peluang mereka di Sukan SEA Filipina 2019.

Ia selepas Wooi Yik sendiri mengakui bukanlah mudah untuknya dan Aaron mengintai pingat emas di Filipina apatah lagi dengan kekuatan dimiliki gandingan dari Indonesia dan Thailand.

Malah, jika mengambil kira ranking semasa dunia, sebenarnya kelebihan kini memihak dua pasangan dari Indonesia Marcus Fernaldi-Kevin Sanjaya dan Hendra Setiawan-Mohammad Ahsan yang masing-masing menghuni kedudukan pertama dan kedua dunia.

Ia berbeza dengan Aaron-Wooi Yik yang sekadar berkedudukan ranking ke-13 dunia selepas menunjukkan peningkatan mendadak sepanjang tahun ini.

"Untuk Sukan SEA sebenarnya Indonesia dan Thailand agak kuat daripada kita," kata Wooi Yik. "Kita jarang lawan dengan pasangan dari kedua-dua negara terbabit.

"Jadi, saya menganggap peluang kami (memenangi pingat emas) adalah seimbang. Memang sekarang ini kami mempunyai kedudukan ranking agak baik tetapi ia hanya memberi keyakinan tambahan untuk menghadapi Sukan SEA."

Ia bakal menjadi kemunculan sulung Wooi Yik di Sukan SEA bersama Aaron yang mana tugas mencabar menanti mereka untuk menamatkan kemarau 16 tahun beregu lelaki Malaysia.

Kali terakhir Malaysia pernah memenangi pingat emas beregu lelaki adalah pada edisi 2003 di Ho Chi Minh, Vietnam menerusi pasangan legenda, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah.

Tujuh pingat emas ditawarkan sukan badminton di Sukan SEA 2019 yang menyingkap tirainya 30 November hingga 11 Disember nanti.

Nama Aaron yang berusia 22 tahun dan Wooi Yik 21 tahun makin meniti di bibir peminat tanah air selepas pencapaian mengejutkan mara hingga ke pentas final Seluruh England 2019.

Berita Harian X