Selasa, 27 Ogos 2019 | 9:55am
SERENA Williams beraksi dalam perlawanan menentang Maria Sharapova pada aksi Terbuka Amerika Syarikat (AS) di Stadium Arthur Ashe, sebentar tadi. - Foto USA TODAY Sports

Serena mudah atasi Sharapova

NEW YORK: Serena Williams mara ke pusingan kedua Terbuka Amerika Syarikat (AS) selepas mengatasi seteru lama dari Russia, Maria Sharapova 6-1, 6-1 di Stadium Arthur Ashe, sebentar tadi.

Serena mengambil masa 54 minit untuk menewaskan Sharapova sekali gus merakam kemenangan ke-19 ke atas pencabarnya itu.

Serena yang juga pilihan kelapan bakal menentang rakan senegara yang menghuni ranking ke-121, Caty McNally.

Pemain tuan rumah berusia 37 tahun itu sedang memburu gelaran ketujuh Terbuka AS dan gelaran Grand Slam ke-24 untuk menyamai rekod milik Margaret Court.

Sharapova, juara Terbuka AS 2006 yang menewaskan Serena di final Wimbledon 2004, dan pernah mengejutkan Simona Halep di pusingan pertama dua tahun lalu gagal meneruskan rentak kecemerlangan pagi tadi.

Serena berkata, kebangkitan itu hasil pengalamannya dan cukup bersedia untuk berdepan Sharapova dalam perlawanan pertama itu.

 "Setiap latihan selepas kekalahan itu membuatkan saya lebih fokus.

"Dia pemain yang sangat bagus. Jika kita berdepan denganya, kita perlu memberikan fokus yang lebih. Setiap kali saya melawannya, saya akan berikan persembahan terbaik saya,” kata Serena. – AFP

Berita Harian X