Jumaat, 26 Julai 2019 | 5:09pm
Beregu lelaki, Yap Roy King-Ooi Jai Dar tewas di tangan pilihan pertama dari China, Di Zi Jian-Wang Chang 9-21, 13-21 pada aksi yang berlangsung di Suzhou. - Arkib NSTP
Beregu lelaki, Yap Roy King-Ooi Jai Dar tewas di tangan pilihan pertama dari China, Di Zi Jian-Wang Chang 9-21, 13-21 pada aksi yang berlangsung di Suzhou. - Arkib NSTP

Cabaran negara berakhir di Suzhou

KUALA LUMPUR: Cabaran Malaysia pada saingan Kejohanan Badminton Remaja Asia berakhir selepas dua wakil negara pada aksi suku akhir tumbang di tangan lawan masing-masing, hari ini.

Beregu lelaki, Yap Roy King-Ooi Jai Dar nyata masih jauh ketinggalan apabila tewas di tangan pilihan pertama dari China, Di Zi Jian-Wang Chang 9-21, 13-21 pada aksi yang berlangsung di Suzhou.

Roy King yang turut beraksi dalam acara beregu campuran bergandingan bersama Gan Jin Err turut gagal dalam usaha melangkah ke separuh akhir apabila ditunjukkan jalan keluar di tangan pasangan Indonesia, Leo Rolly Carnando-Indah Cahya Sari Jamil 11-21, 21-19, 13-21.

Mengulas mengenai prestasi keseluruhan pemain remaja negara, ketua jurulatih skuad remaja negara, Kwan Yoke Meng menyifatkan tahap prestasi pemain adalah sederhana.

“Ada pemain yang tidak berada pada tahap terbaik dan apabila tiba di sini, mereka bermain di bawah tahap prestasi sebenar.

“Pada aksi suku akhir hari ini, pemain bermain agak baik tetapi gagal menyerap tekanan ketika mata penting. Pemain lawan nyata lebih berpengalaman berbanding pemain kita.

“Saya fikir kita perlukan lebih banyak pendedahan bagi menyaingi pemain dari negara seperti China, Korea Selatan dan Taiwan,” kata Yoke Meng.

Terdahulu, dalam saingan berpasukan campuran, Malaysia buat kali pertama gagal melangkah ke suku akhir selepas tewas kepada Indonesia 0-5 dan Jepun 2-3 dalam aksi peringkat kumpulan.

Sejak kejohanan diperkenalkan pada 2006, skuad remaja negara tidak pernah gagal untuk melepasi peringkat kumpulan.

Berita Harian X