Ahad, 21 Julai 2019 | 8:49pm
 Ketua jurulatih skuad remaja kebangsaan mahu anak buahnya bangkit dalam acara individu selepas gagal melepasi saingan peringkat kumpulan acara berpasukan campuran pada Kejohanan Badminton Remaja Asia di Suzhou, China. - Arkib NSTP
Ketua jurulatih skuad remaja kebangsaan mahu anak buahnya bangkit dalam acara individu selepas gagal melepasi saingan peringkat kumpulan acara berpasukan campuran pada Kejohanan Badminton Remaja Asia di Suzhou, China. - Arkib NSTP

Bangkit dalam acara individu

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad remaja kebangsaan, Kwan Yoke Meng mahu anak buahnya bangkit dalam acara individu selepas gagal melepasi saingan peringkat kumpulan acara berpasukan campuran pada Kejohanan Badminton Remaja Asia di Suzhou, China.

Malaysia buat kali pertama gagal ke suku akhir acara berpasukan sejak kejohanan mula diperkenalkan pada 2006 apabila tewas kepada Indonesia 0-5 dan Jepun 2-3, semalam.

"Indonesia memang pasukan yang kuat. Jadi, saya buat untuk turunkan barisan kedua dengan fokus adalah bagi memenangi perlawanan menentang Jepun.

"Namun, beregu lelaki kita (Lwi Sheng Hao-Ooi Jai Dar) yang diletakkan sandaran untuk mengutip mata gagal melakukannya. Begitupun, saya tahu mereka sudah berikan yang terbaik yang mana mereka tewas di set penentuan dengan jurang dua mata.

"Apa pun, semua pemain sudah memberikan yang terbaik. Mereka masih muda dengan majoriti berusia 16 dan 17 tahun kecuali beregu campuran berusia 18 tahun. Pasukan inilah yang akan menjadi sandaran untuk dua tahun akan datang," kata Yoke Meng.

Yoke Meng berkata, dua pemain perseorangan lelaki, Lee Shun Yang dan Kok Jing Hong selain beregu campuran, Yap Roy King-Gan Jin Err antara sandaran skuad remaja negara bagi menghasilkan keputusan positif dalam acara individu Rabu ini.

"Bagaimanapun, saya dapat jangkakan mereka akan berdepan undian sukar. Mereka dijangka menentang pemain pilihan kejohanan dan saya harap mereka boleh mencipta kejutan ke atas lawan yang lebih baik," katanya.

Berita Harian X