Ahad, 7 Julai 2019 | 6:38pm
Pemain skuasy negara S Sivasangari. - Arkib NSTP
Pemain skuasy negara S Sivasangari. - Arkib NSTP

Sivasangari ungguli Terbuka Australia

KUALA LUMPUR: Pemain skuasy negara S Sivasangari merangkul gelaran Persatuan Skuasy Profesional (PSA) ke-11 selepas memenangi mahkota perseorangan wanita Terbuka Australia 2019, manakala Mohd Syafiq Kamal meraih naib juara.

Pemain berusia 20 tahun itu menewaskan Satomi Watanabe dari Jepun 5-11, 11-9, 11-9, 11-9 dalam tempoh 39 minit di Bega Country Club, Australia, hari ini.

Pemain Wanita Muda Terbaik Tahunan 2017/18 PSA itu, mara ke final selepas menewaskan peserta tuan rumah Christine Nunn 11-6, 9-11, 11-4, 11-9, manakala Satomi menumpaskan pemain Malaysia, Rachel Arnold 11-6, 11-8, 10-12, 9-11, 11-3 pada separuh akhir, semalam.

Sivasangari adalah pemain negara ketiga memenangi gelaran kejuaraan Terbuka Australia sejak kejohanan itu bermula pada 1979, selepas bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Nicol David memenanginya pada 2011 dan 2012 serta Low Wee Wern tahun lepas.

Sementara itu, dalam acara perseorangan lelaki, Mohd Syafiq gagal mengikuti jejak Sivasangari, selepas tewas kepada pemain Perancis, Victor Crouin 8-11, 5-11, 4-11 dalam masa 22 minit.

Pada peringkat empat terakhir, Mohd Syafiq mengatasi pemain Jepun, Tomotaka Endo 11-8, 7-11, 11-6, 11-9, manakala Victor menyingkirkan seorang lagi pemain negara, Addeen Idrakie 11-4, 11-6, 6-11, 11-7.

Satu-satunya pemain Malaysia yang memenangi gelaran perseorangan lelaki Terbuka Australia adalah Ng Eain Yow pada 2017. - BERNAMA

Berita Harian X