Rabu, 3 Julai 2019 | 9:23pm
GAMBAR fail, Ketua jurulatih perseorangan lelaki, Datuk Misbun Sidek dan Hendrawan ketika sesi latihan skuad badminton di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, bulan lalu. - Foto Aswadi Alias
GAMBAR fail, Ketua jurulatih perseorangan lelaki, Datuk Misbun Sidek dan Hendrawan ketika sesi latihan skuad badminton di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, bulan lalu. - Foto Aswadi Alias

Hendrawan ada kelebihan tersendiri

 

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Jalani Sidek menawarkan perspektif berbeza berhubung isu membabitkan masa depan jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan.

Bekas pemain beregu lelaki kebangsaan itu percaya Hendrawan masih boleh menyumbang terhadap pembangunan badminton negara berdasarkan pengalaman dimilikinya.

Katanya, Hendrawan dan Datuk Misbun Sidek selaku ketua jurulatih perseorangan lelaki mampu membentuk gandingan mantap berdasarkan kelebihan masing-masing.

"Hendrawan ada kelebihan dan kelemahannya sebagai jurulatih. Kelebihan dia adalah daripada aspek kemahiran.

"Misbun pula ada kelebihan daripada aspek fizikal dan pemahaman di dalam gelanggang. Jadi, jika kedua-dua ini digabungkan, ia mampu menghasilkan impak terutama dalam usaha kita mencari siapa pemain selepas Datuk Lee Chong Wei," katanya kepada BH Sukan.

BH Sukan hari ini melaporkan mengenai kewajaran Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk meneruskan khidmat Hendrawan selepas Chong Wei mengumumkan persaraannya, bulan lalu.

Ia berkisar mengenai pencapaian keseluruhan jurulatih dari Indonesia berusia 47 tahun itu dengan gaji yang diterimanya difahamkan sekitar RM30,000 hingga RM40,000 sepanjang 10 tahun berkhidmat bersama BAM sejak Julai 2009.

Mengulas mengenai perkara itu, Jalani mengakui jika diukur berdasarkan keputusan, semua pihak pastinya sedar Hendrawan gagal membentuk mana-mana pemain bergelar jaguh dunia.

"Jika lihat kepada keputusan, saya fikir semua orang pun tahu apa jawapannya. Namun, seperti yang saya katakan, dia ada kelebihannya tersendiri.

"Dengan kelebihan yang dia ada, kita seharusnya belajar sesuatu. Apa pun, terpulang kepada kebijaksanaan BAM untuk menentukannya," katanya.

BAM dijangka memutuskan mengenai masa depan Hendrawan pada mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T), Jumaat ini.

Berita Harian X