Ahad, 23 Jun 2019 | 7:06pm
Soong Joo Ven (kiri) bersama rakan senegara, Cheam Jun Wei selepas mengungguli saingan Siri Antarabangsa Malaysia di Ipoh, Perak, hari ini. - NSTP/Muhaizan Yahya
Soong Joo Ven (kiri) bersama rakan senegara, Cheam Jun Wei selepas mengungguli saingan Siri Antarabangsa Malaysia di Ipoh, Perak, hari ini. - NSTP/Muhaizan Yahya

Joo Ven juara badminton Siri Antarabangsa Malaysia

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Soong Joo Ven akhirnya dapat menikmati kemanisan bergelar juara di peringkat senior selepas mengungguli saingan Siri Antarabangsa Malaysia di Ipoh, Perak, hari ini.

Selepas empat kali dikecewakan di pentas final, pemain berusia 24 tahun itu nyata tidak rela lagi kempunan.

Dia memanfaatkan peluang dimilikinya menewaskan rakan senegara, Cheam June Wei 21-13, 22-20 dalam aksi final sekali gus meraih gelaran pertamanya di pentas antarabangsa.

Sebelum ini, pencapaian terbaik Joo Ven yang menghuni ranking ke-66 dunia adalah empat kali muncul naib juara - Cabaran Antarabangsa Malaysia 2015, Terbuka Scotland 2016, Cabaran Antarabangsa Poland 2017 dan Terbuka Hyderabad 2018.

"Saya memang sangat gembira dengan kejayaan ini kerana ini adalah kejuaraan pertama saya. Sebelum ini, saya mengharungi detik sukar dan saya harap kejayaan ini adalah permulaan yang baru untuk saya.

"Saya perlu berterima kasih kepada semua pihak yang memberi sokongan dan terus percaya dengan kemampuan diri saya," kata Joo Ven kepada BH Sukan.

Katanya, kejayaan itu juga memberi motivasi buat dirinya untuk terus bekerja keras dan melakar kejayaan dalam kejohanan bertaraf lebih tinggi.

"Saya akan bekerja keras bagi meningkatkan lagi prestasi saya dan berharap boleh beraksi dalam kejohanan yang lebih tinggi. Selepas ini saya akan bermain di Terbuka Thailand (30 Julai hingga 4 Ogos)," katanya.

Sementara itu, skuad negara turut meraih gelaran juara dalam acara beregu wanita menerusi gandingan baharu, Pearly Tan-M Thinaah.

Pearly-Thinaah mempamerkan prestasi cemerlang apabila menundukkan pasangan Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Ribka Sugiarto 21-16, 11-21, 21-18 dalam aksi final.

Berita Harian X