Khamis, 2 Mei 2019 | 7:26pm
GANDINGAN Aaron Chia-Soh Wooi Yik akan bertemu pilihan pertama kejohanan, Takeshi Kamura-Keigo Sonoda. - Foto Luqman Hakim Zubir.
GANDINGAN Aaron Chia-Soh Wooi Yik akan bertemu pilihan pertama kejohanan, Takeshi Kamura-Keigo Sonoda. - Foto Luqman Hakim Zubir.

Misi calar ego beregu Jepun

 

KUALA LUMPUR: Tiga wakil beregu lelaki negara turun dengan misi mencalarkan reputasi Jepun dalam acara itu pada aksi suku akhir Terbuka New Zealand, esok apabila ketiga-tiganya berdepan pasangan dari negara matahari terbit itu.

Gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik akan bertemu pilihan pertama kejohanan, Takeshi Kamura-Keigo Sonoda, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin turun menentang juara Asia 2019, Hiroyuki Endo-Yuta Watanabe manakala Goh V Shem-Tan Wee Kiong berdepan Takuto Inoue-Yuki Kaneko.

Dengan mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 menjadi taruhan, ia pastinya menjanjikan cabaran sengit buat ketiga-tiga wakil negara untuk menumbangkan tiga pasangan utama Jepun itu.

Ia akan menjadi pertemuan pertama buat Aaron-Wooi Yik dengan Kamura-Sonoda manakala Ee Yi-Yew Sin turun dengan misi menamatkan badi kekalahan di tangan Endo-Watanabe dalam tiga perlawanan sebelum ini.

Pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016, V Shem-Wee Kiong pula tewas dua daripada tiga pertemuan dengan Inoue-Keneko.

Terdahulu, Aaron-Wooi Yik yang muncul naib juara Seluruh England 2019 mara ke suku akhir selepas menewaskan pasangan muda Jepun, Mahiro Kaneko-Yunosuke Kubota 21-18, 17-21, 21-11 dalam aksi pusingan kedua, hari ini.

Ee Yi-Yew Sin pula mengetepikan cabaran pasangan Indonesia, Akbar Bintang Cahyono-Moh Reza Pahlevi Isfahani 21-13, 21-15 manakala V Shem-Wee Kiong menyingkirkan Manu Attri-B Reddy Sumeeth dari India 21-17, 21-19.

Sementara itu, tiga wakil beregu campuran negara diketuai Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing turut layak ke kelompok lapan terbaik selepas menewaskan lawang masing-masing.

Turut beraksi di suku akhir esok ialah perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia yang akan menentang Ng Ka Long dari Hong Kong.

Berita Harian X