Jumaat, 26 April 2019 | 10:52pm
CABARAN Malaysia pada Kejohanan Badminton Asia (BAC) berakhir selepas wakil terakhir negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terkandas di suku akhir, sebentar tadi. - NSTP/Syarafiq Abd Samad
CABARAN Malaysia pada Kejohanan Badminton Asia (BAC) berakhir selepas wakil terakhir negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terkandas di suku akhir, sebentar tadi. - NSTP/Syarafiq Abd Samad

Aaron-Wooi Yik tumbang di BAC

 

KUALA LUMPUR: Cabaran Malaysia pada Kejohanan Badminton Asia (BAC) berakhir selepas wakil terakhir negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terkandas di suku akhir, sebentar tadi.

Beregu lelaki negara itu seharusnya menyalahkan diri sendiri susulan kekalahan di tangan lawan dari Korea Selatan, Min Hyuk Kang-Kim Won Ho15-21, 21-16, 18-21.

Atas kertas, Aaron-Wooi Yik yang muncul naib juara Seluruh England, bulan lalu sepatutnya tidak berdepan masalah mencatat kemenangan ke atas lawan yang hanya menghuni ranking ke-41 dunia itu.

Bagaimanapun, skrip berbeza ditampilkan pasangan negara yang menghuni ranking ke-15 dunia itu apabila dikejutkan dengan kekalahan set pertama sebelum bangkit melakar kemenangan di set kedua.

Di set ketiga, Aaron-Wooi Yik suatu ketika ketinggalan 2-9 tetapi berjaya mengejar sehingga 13-16 namun lawan mereka tampak tenang mengawal tekanan bagi mencatat kemenangan dan mara ke separuh akhir.

Hyuk Kang-Won Ho akan bertemu pilihan kelima dari Jepun, Hiroyuki Endo-Yuta Watanabe bagi perebutan tempat ke final, esok.

Aaron-Wooi Yik pula akan terus berlepas ke New Zealand untuk aksi kejohanan seterusnya yang menjadi kejohanan pertama menawarkan mata kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Berita Harian X