Sabtu, 13 April 2019 | 12:11am
BEKAS pemain perseorangan lelaki negara, Rashid Sidek.
BEKAS pemain perseorangan lelaki negara, Rashid Sidek.

Rashid tak perlu pemain profesional

KUALA LUMPUR: Boleh jadi juara ke kalau pilih pemain profesional?

Itu persoalan yang dibangkitkan bekas pemain perseorangan lelaki negara, Rashid Sidek mengenai sama ada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) perlu menyenaraikan pemain profesional bagi menggalas cabaran pada saingan Piala Sudirman di Nanning, China, bulan depan.

Pemenang pingat gangsa Olimpik Atlanta 1996 itu berpendapat, adalah lebih baik sekiranya BAM menyenaraikan pemain muda di bawah naungan badan induk berkenaan sebagai pendedahan kepada mereka tanpa bergantung kepada pemain profesional.

"Berdasarkan prestasi semasa, keputusan yang dihasilkan pemain profesional pun tidaklah begitu baik, lebih kurang sama dengan pemain di bawah BAM,” kata Rashid.

"Mengikut kebiasaan, Piala Sudirman bukanlah kejohanan yang diberi keutamaan oleh BAM sebelum ini. Jadi, saya fikir lebih baik senaraikan pemain muda sebagai pendedahan kepada mereka terutama bagi persiapan menghadapi Piala Thomas dan Uber tahun depan.

"Lagipun, secara realistiknya peluang untuk menjadi juara memang sukar biarpun kita menyenaraikan pemain profesional. Saingan Piala Sudirman turut menawarkan mata ranking untuk kelayakan Sukan Olimpik (Tokyo 2020), jadi BAM sudah pasti memberi keutamaan kepada pemain mereka." 

Saingan Piala Sudirman yang bakal berlangsung bermula 19 hingga 26 Mei depan menyaksikan Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama China dan India.

Antara pemain profesional yang dilaporkan berada dalam pertimbangan BAM ialah perseorangan lelaki, Liew Daren selain dua pasangan yang memenangi pingat perak Olimpik Rio 2016, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, masing-masing untuk acara beregu lelaki dan campuran.

Dengan Datuk Le Chong Wei masih belum pasti dapat beraksi, Rashid sudah mempunyai senarai pemain yang difikirkan mampu menggalas tanggungjawa di Nanning sekiranya diberi kuasa untuk memilih.

"Saya akan senaraikan Lee Zii Jia dan Cheam June Wei (perseorangan lelaki); Goh Jin Wei dan Sonii Cheah (perseorangan wanita); Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin (beregu lelaki); Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean dan Vivian Hoo-Yap Cheng Wen (beregu wanita) dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing (beregu campuran)," katanya.

Berita Harian X