Jumaat, 5 April 2019 | 7:30pm
Beregu campuran negara, Chan Peng Soon dan Goh Liu Yin ketika beraksi menentang beregu China, Wang Yilyu dan Huang Dong Ping pada perlawanan suku akhir Terbuka Malaysia di Stadium Axiata, Bukit Jalil. - NSTP/Syarafiq Abd Samad

Terbuka Malaysia: Peng Soon-Liu Ying tersingkir di suku akhir

KUALA LUMPUR: Beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying tewas kepada Wang Yilyu-Huang Dongping pada aksi suku akhir saingan badminton Terbuka Malaysia di Bukit Jalil, di sini, sebentar tadi.

Bagaimanapun, mereka masih boleh melangkah keluar gelanggang dengan perasaan bangga apabila mempamerkan semangat juang tinggi sebelum tumbang di tangan pilihan kedua dari China itu.

Pada aksi di Axiata Arena itu, Peng Soon-Liu Ying kalah set pertama 19-21 tetapi kembali bangkit dengan memenangi set kedua, 21-16 sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.

Aksi set penentuan nyata mendebarkan apabila kedua-dua beregu saling mengejar mata penamat namun akhirnya Peng Soon-Liu Ying terpaksa akur dengan kekalahan 25-27.

Pencapaian terbaik pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 itu adalah dua kali mara ke final Terbuka Malaysia iaitu pada 2013 dan 2016.

Satu lagi beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing sebentar lagi akan turun beraksi dalam satu lagi aksi suku akhir, menentang gandingan Indonesia, Tontowi Ahmad-Winny Oktavina Kandow.

Berita Harian X