Khamis, 4 April 2019 | 6:55pm
Chong Wei (kiri) tidak sabar untuk membuat perhitungan dengan musuh tradisinya, Lin Dan di atas gelanggang.
Chong Wei (kiri) tidak sabar untuk membuat perhitungan dengan musuh tradisinya, Lin Dan di atas gelanggang.

Chong Wei sahut cabaran Lin Dan

KUALA LUMPUR: Jaguh perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei tidak sabar untuk membuat perhitungan dengan musuh tradisinya, Lin Dan di atas gelanggang.

Bekas pemain nombor satu dunia itu, berkata dia berbesar hati selepas mengetahui antara salah satu sebab bintang sensasi China itu masih kekal beraksi dalam saingan kompetitif adalah disebabkan dirinya yang belum mahu bersara.

Sejurus selepas memenangi pusingan pertama Terbuka Malaysia dengan menewaskan pemain Taiwan, Chou Tien Chen, semalam, Lin Dan yang juga juara Olimpik dua kali memberi bayangan betapa dia hanya akan bersara sekiranya Chong Wei membuat keputusan sama.

“Musuh tradisi saya yang juga teman baik  Lin Dan melakar kemenangan menakjubkan ke atas Chou Tien Chen, semalam. Selepas kemenangannya semalam, saya berbesar hati apabila dia dipetik berkata, “Disebabkan Chong Wei belum bersara daripada sukan badminton dunia, ia memberikan motivasi kepada saya”.

“Saya sangat berharap dapat membuat perhitungan dengannya di atas gelanggang secepat mungkin. Dapat beraksi pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 juga akan membuatkan impian saya menjadi kenyataan,” kata Chong Wei menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasmi miliknya.

Chong Wei yang kini masih dalam proses pemulihan selepas hampir 10 bulan tidak beraksi susulan kanser hidung yang dihidapinya, Julai tahun lalu, berkata saingan di Tokyo bakal menyaksikan permusuhannya dengan Lin Dan memasuki usia 20 tahun.

“Tahun depan mungkin akan menjadi penampilan kelima dan yang terakhir untuk saya pada Olimpik. Jika Tuhan izinkan dan tubuh badan saya sihat, saya berharap dapat melangkah memasuki gelanggang di Tokyo.

“Ia sesuatu yang hebat apabila dapat kembali ke gelanggang dan bertemu Lin Dan sekali lagi yang mana usia permusuhan kami memasuki usia 20 tahun,” kata pemenang pingat perak Olimpik tiga kali itu.

Pemain berusia 37 tahun itu turut menyatakan sokongannya kepada Lin Dan untuk menjuarai Terbuka Malaysia sekiranya tiada mana-mana pemain Malaysia berpeluang untuk muncul juara.

“Kepada teman baik saya Lin Dan, saya ucapkan semoga berjaya pada saingan Terbuka Malaysia kali ini. Jika saya berharap mana-mana pemain bukan Malaysia yang muncul juara Terbuka Malaysia, ia adalah kamu iaitu musuh terhebat saya,” katanya.

Berita Harian X