Rabu, 3 April 2019 | 11:29pm
Pemain beregu lelaki negara, Aaron Chia (kanan) dan Soh Wooi Yik (dua, kiri) bersalaman selepas berjaya menewaskan pemain England pada perlawanan hari kedua Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia Celcom Axiata 2019 di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini. - Foto BERNAMA
Pemain beregu lelaki negara, Aaron Chia (kanan) dan Soh Wooi Yik (dua, kiri) bersalaman selepas berjaya menewaskan pemain England pada perlawanan hari kedua Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia Celcom Axiata 2019 di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini. - Foto BERNAMA

Seluruh England tinggal kenangan - Aaron

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengambil pendekatan berwaspada apabila bertemu pasangan Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi pada aksi pusingan kedua Terbuka Malaysia, esok.

Atas kertas kelebihan dilihat memihak kepada pasangan negara itu apatah lagi mereka masih segar dengan kejayaan muncul naib juara Seluruh England, bulan lalu.

Bagaimanapun, Aaron-Wooi Yik enggan terlalu yakin dan mahu kekal fokus bagi memastikan slot ke suku akhir menjadi milik mereka.

"Kami sudah lupakan mengenai Seluruh England, kami perlu bermula daripada kosong dalam kejohanan ini. Kami tidak pernah bertemu beregu Jepun itu tetapi kami ada lihat perlawanan mereka hari ini.

"Kami akan bincang dengan jurulatih mengenai bagaimana cara untuk berdepan mereka," kata Aaron.

Terdahulu, Aaron-Wooi Yik mengesahkan tempat ke pusingan kedua selepas menewaskan pemenang pingat gangsa Olimpik Rio 2016 dari England, Marcus Ellis-Chris Langridge 21-14, 21-19 dalam aksi pusingan pertama hari ini.

Sementara itu, satu lagi beregu lelaki negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin turut melangkah ke pusingan 16 terbaik apabila menang ke atas Kittinupong Kedren-Dechpol Puavaranukroh 21-17, 21-19.

Mereka akan bertemu pilihan ketujuh kejohanan, Han Chengkai-Zhou Haodong dari China bagi merebut tempat ke suku akhir esok.

Berita Harian X