Ahad, 31 March 2019 | 6:59pm
Mei Kuan-Meng Yean muncul Naib Juara Terbuka India. Foto BAM
Mei Kuan-Meng Yean muncul Naib Juara Terbuka India. Foto BAM

Mei Kuan-Meng Yean tumbang di final

KUALA LUMPUR: Beregu wanita negara, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean gagal dalam misi untuk menambah koleksi kejuaraan mereka apabila tewas dalam aksi final Terbuka India, hari ini.

Pasangan ranking ke-17 dunia itu terpaksa akur apabila tunduk di tangan pilihan kedua kejohanan dari Indonesia, Greysia Polii-Apriyani Rahayu 11-21, 23-25 dalam aksi yang berlangsung selama 51 minit.

Ini adalah kali kedua Mei Kuan-Meng Yean mara ke final di India selepas turut melakukannya pada saingan Kejohanan Antarabangsa Syed Modi di Lucknow, November tahun lalu.

Namun, ketika itu mereka berjaya muncul juara dengan menewaskan pasangan tuan rumah, Ashwini Ponnappa-N Sikki Reddy.

Beregu wanita nombor satu negara itu akan mengalihkan fokusnya terhadap saingan Terbuka Malaysia di Axiata Arena Bukit Jalil yang akan bermula pada Selasa ini.

Mei Kuan-Meng Yean akan membuka tirai kempen menentang beregu Thailand, Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai - lawan yang mereka tewaskan dalam aksi separuh akhir, semalam - pada aksi pusingan pertama.

Berita Harian X