Isnin, 18 March 2019 | 11:10am
BIANCA Andreescu bergambar bersama trofinya selepas menewaskan Angelique Kerber pada aksi WTA di Indian Wells, awal pagi ini. - Foto AFP

Andreescu rangkul gelaran sulung WTA

INDIAN WELLS: Pemain remaja sensasi Kanada, Bianca Andreescu menjadi pemain pertama yang memperoleh wild card menjulang kemenangan WTA di Indian Wells awal pagi ini dengan kejayaan 6-4, 3-6, 6-4 ke atas juara Wimbledon, Angelique Kerber.

Andreescu, 18, menewaskan pemain ranking kelapan dari Jerman, yang tidak pernah memenangi sebarang gelaran sejak menundukkan Serena Williams tahun lalu di final Wimbledon untuk mahkota ketiganya di Grand Slam.

Menduduki ranking ke-60, Andreescu akan membaiki kedudukannya ke tangga 24 dunia selepas kemenangan WTA pertama buatnya.

“Jika anda percaya pada diri sendiri, tidak ada yang mustahil,” kata Andreescu selepas menjulang trofi kristal itu dan menjadi pemain termuda memenangi gelaran di WTA.

Ia adalah satu langkah besar buat Andreescu yang hanya menamatkan kalendar 2018 di kedudukan 178 dunia.

Dia juga memenangi 28 perlawanan dalam pelbagai peringkat kejohanan pada tahun ini termasuklah kelayakan dan kemenangan sirkit cabaran – tetapi kejayaan awal pagi tadi melebihi segalanya.

Andreescu terpaksa berhenti pada kedudukan 2-1 di set ketiga untuk menerima rawatan pada tangan dan bahu kanannya serta kelihatan ingin menarik diri ketika permainan kelima.

Andreescu kemudiannya dinasihatkan jurulatihnya untuk meneruskan permainan sehingga tamat. – AFP

 

Berita Harian X