Rabu, 13 March 2019 | 5:24pm
BEREGU lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik. - Foto Reuters
BEREGU lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik. - Foto Reuters

Aaron-Wooi Yik perlu terus dahagakan kejayaan

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik diingatkan agar tidak mudah berpuas hati dengan pencapaian mereka muncul naib juara Seluruh England, pada Ahad lalu.

Ketua jurulatih beregu lelaki, Paulus Firman menyifatkan ia hanya permulaan buat anak didiknya itu khususnya bagi merealisasikan impian layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Berdasarkan pencapaian mereka kali ini, memang saya berpuas hati. Namun, mereka perlu terus bekerja keras dan jangan mudah berpuas hati.

"Mereka perlu terus dahagakan kejayaan di peringkat tertinggi kerana misi selepas ini adalah untuk layak ke Olimpik Tokyo 2020. Apa yang mereka capai sekarang sebenarnya belum cukup lagi," kata Paulus.

Beregu ke-15 dunia itu terlepas kejuaraan Seluruh England selepas tewas kepada gandingan Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 21-11, 14-21, 12-21, dalam aksi final yang berlangsung di Arena Birmingham.

Paulus berkata apa yang perlu dilakukan Aaron-Wooi Yik sekarang adalah mempelbagaikan corak permainan mereka agar tidak mudah dibaca pihak lawan.

"Dengan pencapaian mereka ini sudah pasti semua pihak lawan akan mengkaji corak permainan mereka. Jadi, mereka boleh kekal dengan permainan yang sama.

"Sebaliknya perlu ada beberapa corak permainan yang berbeza," kata Paulus yang mahu Aaron-Wooi Yik melonjak dalam kelompok 10 terbaik dunia menjelang kelayakan Olimpik yang bermula Mei ini.

Berita Harian X