Sabtu, 9 March 2019 | 9:00am
Sesi MOU kerjasama Kerajaan Jepun dan Kerajaan Malaysia baru-baru ini.
Sesi MOU kerjasama Kerajaan Jepun dan Kerajaan Malaysia baru-baru ini.

Malaysia & Jepun kongsi kepakaran bidang sukan

KUALA LUMPUR: Hubungan 62 tahun Malaysia dan Jepun diperkukuhkan lagi menerusi bidang sukan apabila Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menghantar 23 atlet, termasuk jurulatih menjalani latihan dan pertukaran di Wilayah Ehime, selatan Jepun, pada Ogos lalu.

Latihan itu bertujuan, memastikan kesiapsiagaan atlet negara berada pada tahap terbaik dan sebagai persiapan menjelang temasya sukan Olimpik 2020 di Tokyo.

Jurulatih Beregu Wanita Kebangsaan, Wong Pei Tty, berkata latihan di Ehime menyediakan peluang kepada pemain untuk fokus pada tahap tertinggi memandangkan persekitarannya baharu dan tiada gangguan luar.

Katanya, pasukannya juga berpeluang berkongsi pengetahuan dan teknik dipelajari dengan pemain di Ehime untuk memberi pendedahan berbeza kepada mereka.

“Semasa latihan berlangsung, ramai pemain muda dan pelajar sekolah di sana datang ke gelanggang untuk melihat permainan dan turut membantu membersihkan alatan.

“Walaupun komunikasi agak terbatas, ia tidak menghalang mereka untuk meneliti latihan kami melalui pemerhatian,” katanya.

Program yang berlangsung pada 19 hingga 28 Ogos itu adalah sebahagian daripada kolaborasi BAM bersama Persatuan Badminton Ehime (EBA) menerusi memorandum persefahaman ditandatangani kedua-dua pihak. Tempoh latihan itu adalah selama dua tahun dan siri pertama pada Ogos lalu.

Wilayah Ehime adalah satu lokasi dikelilingi lautan dan gunung ganang yang menghadap perairan Laut Inland Seto. Ia akan menjadi pusat latihan rasmi atlet badminton kebangsaan bagi temasya Olimpik 2020.

Pei Tty berkata, menerusi kerjasama itu, ia adalah satu sokongan kepada pasukan Malaysia dalam bentuk penyediaan kemudahan hub latihan bersesuaian serta kepakaran dalam bidang sains sukan yang meliputi infrastruktur dan nasihat pemakanan.

“Pendedahan luar seperti ini adalah baik untuk pemain bagi membiasakan diri mereka berdepan dengan lawan di peringkat antarabangsa.

“Dunia sudah berubah dan kini banyak negara berkongsi kepakaran dan ilmu yang ada untuk menyumbang kepada pembangunan sukan secara menyeluruh,” katanya.

Kumpulan pertama pemain badminton Malaysia yang mengikuti program latihan di Ehime, Jepun, juga kini menjadi pusat latihan rasmi kem badminton negara bagi Olimpik 2020. - Foto Persatuan Badminton Malaysia
Kumpulan pertama pemain badminton Malaysia yang mengikuti program latihan di Ehime, Jepun, juga kini menjadi pusat latihan rasmi kem badminton negara bagi Olimpik 2020. - Foto Persatuan Badminton Malaysia

Sementara itu, Gabenor Wilayah Ehime, Tokihiro Nakamura, berkata pada masa yang sama atlet muda Ehime berpeluang menyaksikan permainan berkualiti tinggi yang dipamerkan pemain Malaysia.

“Ia berjaya menyuntik semangat mereka untuk memperbaiki dan meraih pengalaman berharga melalui program pertukaran ini.

“Saya berharap kerjasama dan pertukaran di antara Wilayah Ehime serta Malaysia akan dapat diperhebatkan melalui kem latihan pasukan badminton kebangsaan Malaysia,” katanya.

Bagi pemain badminton muda negara, Pearly Tan, berkata program itu memberi pendedahan dari segi teknik atas gelanggang serta kemahiran lain yang dikuasai oleh pemain Jepun.

“Mereka mempunyai kekuatan mental dan fokus tinggi dalam permainan. Kelebihan ini perlu dicontohi bagi membina semangat lawan yang kental ketika bermain,” katanya.

BAM kini dalam persiapan menghantar pasukan Malaysia ke Ehime pada Disember ini. Selain itu, kedua-dua pihak merancang mengadakan program pertukaran bagi peserta junior berumur 13 sehingga 18 tahun untuk diserap dalam sistem pendidikan Jepun dan mengadaptasi gaya hidup serta budaya masyarakatnya.

Wilayah Ehime juga sedang mencari Penasihat Pertukaran Sukan (SEA) untuk menjadi jurulatih badminton bagi atlit muda tempatan melalui bimbingan program CLAIR JET iaitu Program Pertukaran dan Pengajaran Jepun.

Disamping itu, permohonan bagi jawatan Penyelaras Perhubungan Antarabangsa turut dibuka dan ia terbuka kepada rakyat Malaysia.

Permohonan boleh dihantar ke pejabat Kedutaan Jepun, Persiaran Stonor, Kuala Lumpur sebelum 15 Mac ini.

Berita Harian X