Khamis, 7 March 2019 | 12:46am
AKSI gandingan Wee Kiong-Goh V Shem ketika menewaskan Berry Angriawan-Hardianto Hardianto pada saingan Seluruh England. - Foto Reuters
AKSI gandingan Wee Kiong-Goh V Shem ketika menewaskan Berry Angriawan-Hardianto Hardianto pada saingan Seluruh England. - Foto Reuters

Wee Kiong, V Shem mara, Jin Wei tersingkir

KUALA LUMPUR: Kelahiran cahaya mata sulung sehari sebelum berangkat ke Birmingham, bagi menghadapi Seluruh England, Ahad lalu nyata menjadi azimat terbaik buat pemain beregu lelaki profesional negara, Tan Wee Kiong.

Wee Kiong bersama pasangannya Goh V Shem bermula langkah kanan apabila berjaya mara ke pusingan kedua hasil kemenangan ke atas Berry Angriawan-Hardianto Hardianto 21-14, 17-21, 21-17  di pusingan pertama, hari ini.

Wee Kiong pada Ahad lalu memuat naik gambar di Instagram dengan dia dilihat memegang bayi perempuannya bersama isteri, Chia Shi Leng di bilik bersalin.

V Shem-Wee Kiong yang juga pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 akan bertemu sama ada rakan senegara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi atau pasangan Jepun, Hiroyuki Endo-Yuta Watanabe bagi perebutan tempat ke suku akhir, esok.

Satu lagi beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik turut mara ke pusingan kedua selepas bangkit daripada kekalahan set pertama untuk mengatasi beregu Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han 12-21, 21-16, 21-16.

Pasangan ke-18 dunia itu akan bertemu pilihan kelima kejohanan dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen, esok.

Beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie turut melangkah ke pusingan kedua selepas menewaskan pasangan Indonesia, Ronald Ronald-Annisa Saufika 21-16, 21-11.

Mereka akan bertemu pilihan ketujuh kejohanan dari England, Marcus Ellis-Lauren Smith untuk aksi pusingan kedua.

Nasib bagaimanapun tidak menyebelahi dua pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei dan Soniia Cheah apabila terkandas di pusingan pertama.

Kedua-dua pemain negara itu tewas di tangan lawan dari Jepun dengan Jin Wei tunduk kepada Sayaka Takahashi 20-22, 13-21 manakala Soniia akur dengan kekalahan di tanyan Aya Ohori 15-21, 16-21.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X