Rabu, 27 Februari 2019 | 3:24pm
Datuk Nicol David gagal meneruskan kemaraan pada Kejohanan Dunia PSA 2018/2019 selepas tewas kepada pemain pilihan kelima, Camille Serme. - Foto Owee Ah Chun
Datuk Nicol David gagal meneruskan kemaraan pada Kejohanan Dunia PSA 2018/2019 selepas tewas kepada pemain pilihan kelima, Camille Serme. - Foto Owee Ah Chun

Perjalanan Nicol terhenti di pusingan ketiga

KUALA LUMPUR: Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David gagal meneruskan kemaraan pada Kejohanan Dunia PSA 2018/2019 selepas tewas kepada pemain pilihan kelima, Camille Serme dalam perlawanan pusingan ketiga di Chicago pada Selasa (Rabu di Malaysia).

Nicol, pemain pilihan ke-13 memulakan saingan dengan langkah kanan apabila memenangi set pertama 11-9 sebelum pemain Perancis itu bangkit menyekat laluan Nicol dengan 4-11, 4-11, 5-11 dalam 41 minit, menurut laman sesawang kejohanan itu, https://psaworldchampionships.com.

“Permainan pertama sangat penting bagi saya tetapi beliau berjuang dan mendapat rentak dalam perlawanan. Bersaing dengan Camille sangat mengujakan...Camille bermain dengan bagus hari ini. Beliau pemain yang hebat,” katanya selepas perlawanan itu.

Nicol mula bertanding dalam kejohanan itu pada 2001 dan memenangi lapan gelaran - kejuaraan yang paling banyak dimenangi oleh seorang wanita. Beliau memenanginya pada tahun 2005, 2006, 2008, 2009, 2010, 2011, 2012 dan 2014.

Baru-baru ini, Nicol mengumumkan akan bersara secara rasmi pada penghujung musim 2018/2019 Persatuan Skuasy Profesional (PSA) Jun tahun ini selepas berkecimpung selama 20 tahun dalam sukan ini. - BERNAMA

Berita Harian X