Jumaat, 18 Januari 2019 | 9:50pm
REAKSI pemain beregu, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik meraikan kemenangan selepas menewaskanpemain Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen pada suku akhir Masters Malaysia 2019 di Axiata Bukit Jalil. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Satu slot final milik Malaysia

 

KUALA LUMPUR: Satu slot final acara beregu lelaki pada saingan Masters Malaysia sudah pasti menjadi milik pasangan negara.

Ini kerana, dua pasangan negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin akan membuat perhitungan antara satu sama lain dalam aksi separuh akhir di Axiata Arena Bukit Jalil, esok.

Aaron-Wooi Yik mara ke separuh akhir selepas menewaskan pilihan keempat dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 21-17, 21-19 dalam aksi suku akhir, hari ini.

PEMAIN beregu Ong Yew Sin-Teo Ee Yi akan menentang Aaron Chia-Soh Wooi Yik pada aksi separuh akhir Masters Malaysia, esok. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Terdahulu, Ee Yi-Yew Sin mengesahkan tempat ke kelompok empat terbaik selepas mengejutkan pilihan kedua dari Jepun, Takeshi Kamura-Keigo Sonoda 21-19, 21-16.

“Saya sempat bergurau dengan Ee Yi sebelum perlawanan untuk bertemu dengannya di separuh akhir. Malah, kejayaan ramai pemain Malaysia mara ke separuh akhir hari ini turut membakar semangat kami.

“Esok pastinya akan menjadi perlawanan yang sukar kerana kami menentang rakan senegara. Kami berlatih bersama setiap hari dan tahu permainan masing-masing. Hanya yang terbaik akan menang,” kata Aaron ketika ditemui selepas tamat perlawanan.

Sementara itu, beregu lelaki profesional, Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang masih segar dengan kejayaan menjuarai Masters Thailand, Ahad lalu turut melangkah ke separuh akhir hasil kemenangan ke atas Hiroyuki Endo-Yuta Watanabe dari Jepun 22-20, 21-15.

Mereka akan bertemu pasangan nombor satu dunia yang juga pemenang pingat emas Sukan Asia 2018 dari Indonesia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo untuk aksi separuh akhir esok.

Bagaimanapun, cabaran pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia berakhir selepas tewas kepada juara bertahan, Viktor Axelsen dari Denmark 12-21, 20-22.

Berita Harian X