Selasa, 8 Januari 2019 | 1:52pm
PEMAIN badminton perseorangan lelaki nombor satu negara, Liew Daren. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
PEMAIN badminton perseorangan lelaki nombor satu negara, Liew Daren. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

KBS, MSN mesti adil kepada semua pemain profesional

KUALA LUMPUR: Pemain badminton perseorangan lelaki nombor satu negara, Liew Daren berharap Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) berlaku adil dalam menyalurkan bantuan kepada pemain profesional.

Katanya, jika KBS dan MSN memutuskan untuk membantu beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying bagi persiapan layak ke Olimpik 2020, mereka juga perlu memberi bantuan sama kepada pemain profesional lain.

Ini kerana, semua pemain profesional yang lain juga berpotensi untuk layak ke temasya berprestij dunia di Tokyo berkenaan.

V Shem-Wee Kiong dan Peng Soon-Liu Ying yang memenangi pingat perak Olimpik Rio 2016 masing-masing membuat keputusan meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada bulan lalu untuk bergerak secara profesional.

"Jika kita bercakap soal adil, sudah pasti KBS dan MSN perlu membantu semua pemain profesional kerana ada antaranya yang berpotensi untuk layak ke Olimpik. Namun, semuanya bergantung kepada mereka.

"Saya tidak pasti apa kriteria yang digunakan dalam menentukan perkara ini. Mungkin V Shem-Wee Kiong dan Peng Soon-Liu Ying adalah pemenang pingat Olimpik, jadi mereka dirasakan perlu dibantu.

“Apa jua keputusan, saya akur tetapi saya harap mereka berlaku adil kepada semua pemain profesional," kata Daren yang tidak pernah mendapat sebarang bantuan KBS dan MSN sejak bergelar pemain profesional pada 2016.

Sebelum ini, KBS dan MSN menyatakan mereka akan tetap membantu V Shem-Wee Kiong dan Peng Soon-Liu Ying untuk layak ke Tokyo.

Bagaimanapun, Daren antara pemain profesional yang dilihat turut wajar diberikan bantuan memandangkan statusnya kini sebagai pemain perseorangan nombor satu Malaysia berdasarkan kedudukan ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Dia yang memenangi pingat gangsa Kejohanan Dunia 2018 ketika ini menghuni ranking ke-23 dunia diikuti Datuk Lee Chong Wei (28).

Ranking Chong Wei jatuh selepas dia terpaksa berehat panjang susulan menghidapi kanser hidung dan kini dalam proses kembali turun menjalani latihan di gelanggang.

Mengulas lanjut, Daren berkata jika tidak mendapat sebarang bantuan KBS dan MSN, dia tetap akan meneruskan perancangan seperti biasa khasnya dalam merealisasikan misi untuk layak ke Olimpik buat kali pertama sepanjang kerjayanya.

"Sudah pasti saya mengalu-alukan jika mereka mahu membantu kerana bukannya mudah untuk bergerak secara profesional. Namun, jika tidak, saya akan tetap meneruskan misi untuk merealisasikan impian layak ke Olimpik.

"Selepas dua tahun bergerak secara profesional, saya sudah biasa. Jadi, saya akan terus bekerja keras bagi memastikan ia menjadi kenyataan," kata Daren yang menjalani latihan di Akademi Badminton Sports Affairs di bawah kendalian jurulatih, Rashid Sidek.

Berita Harian X