Khamis, 3 Januari 2019 | 5:33pm
AHMAD Shapawi (tengah) memperkatakan sesuatu kepada bekas atlet negara (dua dari kiri), Ishak Alwi, Mohd Faiz Zamanhuri dan Mohd Sharrulhaizy Abd Rahman selepas menyerahkan sumbangan dari Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) di Majlis Sukan Negara. - Foto BERNAMA

Kedudukan pemain keluar BAM dikaji semula

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) akan mengkaji semula kedudukan empat pemain badminton - Chan Peng Soon, Goh Liu Ying, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong - dalam program Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail  mengakui tindakan pemain itu keluar daripada BAM memberi banyak kesan dan pihaknya perlu mengambil kira pandangan semua pihak sebelum memutuskan kedudukan mereka.

"Pada asalnya, semua pemain yang keluar (meninggalkan BAM) itu berada dalam senarai awal program, bagaimanapun tindakan mereka ini adalah perkembangan baharu.

Jadi, kita akan membincangkan kedudukan mereka dalam mesyuarat  jawatankuasa kerja (JKK) bersama Institut Sukan Negara (ISN), Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) hujung bulan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan skim bantuan khas Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) kepada bekas atlet negara di MSN, Bukit Jalil hari ini.

Terdahulu, Peng Soon-Liu Ying mengumumkan untuk meninggalkan BAM pada 16 Disember lalu dan terbaru BAM mengesahkan bekas beregu lelaki nombor satu dunia, V Shem-Wee Kiong akan meninggalkan BAM mulai Sabtu ini.

Kedua-dua pasangan berkenaan yang meraih pingat perak di Sukan Olimpik Rio 2016 meneruskan karier secara profesional dan mempunyai sasaran sama untuk melayakkan diri ke temasya berprestij itu di Tokyo 2020.

Berita Harian X