Rabu, 19 Disember 2018 | 7:02pm
JURULATIH beregu lelaki negara Paulus Firman. - Foto Luqman Hakim Zubir
JURULATIH beregu lelaki negara Paulus Firman. - Foto Luqman Hakim Zubir

Paulus sahkan niat anak buah mahu tinggalkan BAM 

KUALA LUMPUR: Jika diberi pilihan, jurulatih beregu lelaki negara Paulus Firman tidak mahu Goh V Shem-Tan Wee Kiong meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Bagaimanapun, jurulatih dari Indonesia itu tidak akan menghalang mereka daripada mengambil keputusan sebaliknya.

Paulus tidak menafikan niat beregu itu meninggalkan kem kebangsaan tetapi menegaskan masih belum ada keputusan rasmi dibuat.

Ketika dihubungi di Jakarta, Paulus yang sedang bercuti berkata: “Iya V Shem-Wee Kiong pernah membincangkan perkara ini (meninggalkan BAM) dengan saya tetapi belum disahkan.

“Saya tidak rasa mereka sudah berjumpa presiden (Datuk Seri Norza Zakaria) untuk membincangkan perkara ini.

“Mereka masih memikirkan pilihan yang ada dan sebagai jurulatih, saya akan menghormati apa saja keputusan mereka.”

Paulus menambah walaupun ia kelihatan seperti kehilangan besar buat BAM, masih ada sinar buat kem kebangsaan.

Awal minggu ini, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran) meninggalkan kem kebangsaan, sekali gus mencetus spekulasi beberapa nama besar lain akan mengikut jejak mereka.

Ia berikutan pengumuman BAM awal bulan ini yang mengatakan mereka akan mengecilkan saiz skuad kebangsaan kepada 48 pemain, dan pada masa sama mengurangkan jumlah jurulatih.

“Secara peribadi saya mahu V Shem-Wee Kiong kekal. Malah saya ada memberitahu mereka yang saya akan mengharungi cabaran ini bersama mereka.

“Bagaimanapun, mereka mempunyai alasan tersendiri dan saya perlu menghormatinya. Mungkin di luar sana lebih baik buat mereka sebagai pemain profesional.

“Matlamat mereka tidak berubah dan ia adalah layak ke Olimpik Tokyo 2020, biarlah mereka menentukan masa depan sendiri. Saya tidak akan menjadi penghalang,” kata Paulus.

Difahamkan, V Shem dan Wee Kiong masing-masing belum menghantar surat peletakan jawatan tetapi dijangka berbuat demikian sebelum permulaan musim baharu tahun depan.

Merujuk kepada catatan-catatan V Shem di media sosial, dia kini sedang bercuti di Eropah.

 

Berita Harian X