Isnin, 26 November 2018 | 4:05pm
ROSMAN (tengah) bergambar dengan Mei Kuan (kanan) dan Meng Yean yang menjuarai kejohanan badminton Syed Modi di Lucknow, semalam. - Foto Persatuan Badminton Malaysia
ROSMAN (tengah) bergambar dengan Mei Kuan (kanan) dan Meng Yean yang menjuarai kejohanan badminton Syed Modi di Lucknow, semalam. - Foto Persatuan Badminton Malaysia

'Magis' Rosman mula buah hasil

KUALA LUMPUR: ‘Magis’ Rosman Razak sebagai ketua jurulatih beregu wanita negara mula membuahkan hasil positif.

Dalam tempoh tiga minggu, anak buahnya berjaya meraih dua gelaran antarabangsa - Vivian Hoo-Yap Cheng Wen menjuarai Terbuka Macau pada 4 November lalu manakala Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean bergelar juara kejohanan Antarabangsa Syed Modi di Lucknow, India, semalam.

Kedua-dua kejohanan itu bertaraf Jelajah Dunia BWF Super 300.

Bagaimanapun, Rosman enggan menerima pujian secara sendirian susulan kejayaan itu sebaliknya menegaskan ia hasil kerjasama semua jurulatih dan pemain.

“Perjalanan kami masih jauh, kami perlu bekerja keras lagi. Sasaran utama kami layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Saya mempunyai jurulatih dan pemain yang hebat dan sentiasa memberi sokongan antara satu sama lain. Mereka tahu apa matlamat saya dan kami bekerja sebagai satu pasukan.

“Kami bukan yang terbaik tapi kami bercita-cita besar,” kata Rosman ketika dihubungi sebaik Mei Kuan-Meng Yean muncul juara, semalam.

Walaupun baru mengambil alih tugas ketua jurulatih awal tahun ini, namun Rosman sebenarnya tidak asing dalam kalangan pemain beregu wanita kerana pernah membimbing mereka sebelum beliau meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada pertengahan 2015 untuk menjadi ketua jurulatih beregu Akademi Badminton Sports Affairs.

Namun, beliau kembali ke pangkuan badan induk itu pada Januari 2017 dengan tugas melatih pemain beregu lelaki sebelum dinaikkan pangkat menjadi ketua jurulatih beregu wanita - mengambil alih tempat Wong Pei Tty yang kini menjadi pembantunya selain Lim Pek Siah.

Ketika membimbing pemain beregu wanita sebelum ini, sentuhan Rosman menyaksikan Vivian-Woon Khe Wei meraih pingat emas Sukan SEA Myanmar 2013 dan Sukan Komanwel Glasgow 2014 selain gangsa Sukan Asia Incheon 2014.

Berita Harian X