Jumaat, 23 November 2018 | 10:57pm
PEMAIN bergu wanita negara , Chow Mei Kuan bersama Lee Meng Yean ke separuh akhir Kejuaraan Badminton Antarabangsa Syed Mohdi di Lucknow, India, hari ini. - Foto MOHD YUSNI ARIFFIN
PEMAIN bergu wanita negara , Chow Mei Kuan bersama Lee Meng Yean ke separuh akhir Kejuaraan Badminton Antarabangsa Syed Mohdi di Lucknow, India, hari ini. - Foto MOHD YUSNI ARIFFIN

Mei Kuan-Meng Yean ke separuh akhir

 

KUALA LUMPUR: Beregu wanita negara, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean terus cemerlang apabila melangkah ke separuh akhir Kejuaraan Badminton Antarabangsa Syed Mohdi di Lucknow, India, hari ini.

 

Tampil sebagai pilihan ketiga kejohanan bertaraf Jelajah Dunia BWF Super 300 itu, Mei Kuan-Meng Yean tidak berdepan masalah untuk menumbangkan pasangan Indonesia, Yulfira Barkah-Jauza Fadhila Sugiarto 21-15, 21-15 dalam aksi suku akhir yang berlangsung selama 42 minit.

 

Ketua jurulatih beregu wanita, Rosman Razak memuji prestasi ditunjukkan Mei Kuan-Meng Yean dan berharap mereka mampu mengekalkan konsistensi menjelang aksi separuh akhir, esok.

“Mereka bermain dengan baik hari ini. Mereka mengikut segala perancangan dan strategi yang ditetapkan dengan menguasai perlawanan terutama di bahagian depan.

“Saya harap mereka terus fokus dan mengekalkan rentak ini bagi menghadapi lawan di separuh akhir nanti,” kata Rosman ketika dihubungi sejurus tamat perlawanan.

 

Mei Kuan-Meng Yean yang juga naib juara Terbuka Russia 2018 akan bertemu pilihan kedua dari Indonesia, Della Destiara Haris-Rizki Amelia Pradipta bagi perebutan tempat ke pentas final.

Berita Harian X