Selasa, 13 November 2018 | 3:39pm
BEREGU lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik. - Foto Eizairi Shamsudin
BEREGU lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik. - Foto Eizairi Shamsudin

Aaron-Wooi Yik belum putus asa

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik belum berputus asa dalam misi memburu gelaran sulung di pentas antarabangsa.

Justeru, gandingan yang menduduki ranking ke-22 dunia itu mahu menutup tirai saingan musim ini dengan noktah kejayaan apabila beraksi pada saingan Korea Masters bermula 27 November hingga 2 Disember ini.

Sejak digandingkan pada 2017, pemain yang masing-masing berusia 21 dan 20 tahun itu masih belum memenangi sebarang gelaran juara.

Pencapaian terbaik pasangan itu sekadar empat kali muncul naib juara dengan yang terbaru pada saingan Terbuka SaarLorLux di Jerman, awal bulan ini.

Saingan di Jerman itu seharusnya medan terbaik buat Aaron-Wooi Yik menamatkan kemarau kejuaraan mereka.

Bagaimanapun, mereka terpaksa akur apabila tewas kepada pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Rio 2016 dari England, Marcus Ellis-Chris Langridge 23-21, 18-21, 19-21 dalam aksi final.

Aaron mengakui jiwa mereka belum cukup kental terutama bagi menghadapi perlawanan yang menghadirkan tekanan tinggi.

“Hati kami belum cukup kuat lagi. Ini bukan sesuatu yang mudah.

“Kami perlu terus belajar dan menimba pengalaman untuk memastikan kami mampu menghadapi apa jua situasi ketika dalam perlawanan.

“Korea Masters adalah kejohanan terakhir kami tahun ini. Kami akan cuba melakukan yang terbaik dalam kejohanan ini.

“Kami tidak akan berputus asa dalam usaha kami untuk meraih gelaran pertama di pentas antarabangsa,” kata Aaron.

Aaron-Wooi Yik yang diletakkan sebagai pilihan keenam akan membuka tirai saingan di Korea menentang pasangan tuan rumah, Jung Jung Young-Kim Dae Eun pada pusingan pertama.

Berita Harian X