X
Rabu, 7 November 2018 | 7:37pm
GOH Jin Wei - Foto EIZAIRI SHAMSUDIN
GOH Jin Wei - Foto EIZAIRI SHAMSUDIN

Peluang runtuhkan Tembok Besar China

KUALA LUMPUR: Skuad badminton remaja negara bersedia membuat perhitungan dengan juara bertahan, China pada saingan suku akhir acara berpasukan campuran Kejohanan Remaja Dunia di Kanada, awal pagi esok.

Semalam, Malaysia memastikan kedudukan sebagai pemenang Kumpulan B selepas menewaskan Poland 5-0 pada perlawanan ketiga peringkat kumpulan di Markham.

Bekas juara perseorangan wanita, Goh Jin Wei sekali lagi digandingkan bersama Yap Roy King dalam beregu campuran dan pemain berumur 18 tahun itu tidak mengecewakan apabila dia dan gandingannya menghadiahkan mata pertama selepas menewaskan Julia Plawecka-Mikolaj Wrzalik 21-6, 21-5.

Pemain negara lain adalah perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong, perseorangan wanita Eoon Qi Xuan, beregu lelaki Chia Wei Jie-Chua Yue Chern dan beregu wanita Pearly Tan-Toh Ee Wei.

Mengakui China pasukan pilihan, ketua jurulatih negara, Kwan Yoke Meng berharap barisannya mampu menewaskan juara 13 kali itu terutama selepas tewas kepada mereka dalam dua edisi final sebelum ini.

“Selepas tewas dua kali dalam dua tahun lalu, kami menantikan perlawanan semula namun kami terpaksa berentap lebih awal di suku akhir.

“Bagaimanapun untuk menjadi juara, anda perlu bersedia berdepan dengan sesiapa juga pada setiap masa.

“Jelas sekali China adalah pilihan tetapi bergantung kepada kami untuk melakukan perbezaan. Semangat pasukan kami tinggi, kami tidak takut berdepan mereka,” kata Yoke Meng.

Berita Harian X