Isnin, 29 Oktober 2018 | 9:47pm
PEMAIN skuasy kebangsaan, Ng Eain Yow. - Arkib NSTP
PEMAIN skuasy kebangsaan, Ng Eain Yow. - Arkib NSTP

Cabaran negara lebur di Doha

KUALA LUMPUR: Pemain skuasy kebangsaan, Ng Eain Yow gagal meneruskan kemaraan di Qatar Classic selepas tewas kepada pemain pilihan keenam, Karim Abdel Gawad pada pusingan kedua hari ini.

Eain Yow yang mengejutkan pemain ranking ke-24 dunia, Abdulla Mohd Al Tamimi dari Qatar pada aksi pembukaan Sabtu lalu mencemaskan lawannya terlebih dahulu apabila menang dua set pertama dalam perlawanan yang berlangsung di Kompleks Tenis dan Skuasy Antarabangsa Khalifa di Doha.

Bagaimanapun, Karim yang menduduki ranking ke-10 dunia menggunakan pengalaman luasnya dengan bangkit di set seterusnya sebelum menang 9-11, 11-13, 11-3, 11-4, 11-4 dalam masa 61 minit.

Pemain Mesir berusia 27 tahun itu akan menentang pemain England, Declan James esok untuk penentuan tempat ke suku akhir.

Kekalahan Eain Yow menamatkan harapan Malaysia dalam kejohanan yang menawarkan hadiah AS$177,750 (RM742,224) selepas seorang lagi pemain negara, Nafiizwan Adnan tewas kepada pemain Scotland, Greg Lobban pada pusingan pertama.

Bagaimanapun, Eain Yow yang berusia 20 tahun itu boleh berbangga kerana ini kali kedua dia beraksi dalam undian utama kejohanan Platinum PSA.

Berita Harian X