Rabu, 24 Oktober 2018 | 11:16pm
BEREGU campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie. - Arkib NSTP
BEREGU campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie. - Arkib NSTP

Terbuka Perancis: Soon Huat-Shevon mara pusingan kedua

KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie menebus kekecewaan dialami rakan senegara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying apabila mara ke pusingan kedua Terbuka Perancis, sebentar tadi.

Soon Huat-Shevon yang diletakkan sebagai pilihan kelapan bagaimanapun dipaksa bekerja keras sebelum melakar kemenangan ke atas pasangan Jerman, Mark Lamsfuss-Isabel Herttrich 11-21, 21-12, 21-6 dalam aksi pusingan pertama kejohanan yang berlangsung di Paris.

“Mereka (Soon Huat-Shevon) menghadapi sedikit masalah  untuk menyesuaikan diri dengan keadaan di gelanggang dan sebab itu corak permainan mereka tidak menjadi di set pertama,” kata ketua jurulatih beregu campuran negara, Pang Cheh Chang.

“Namun, mereka mengubah strategi dan kembali mendapat rentak di set kedua serta ketiga. Saya harap mereka akan lebih bersedia bagi menghadapi perlawanan pusingan kedua.”

Soon Huat-Shevon yang muncul juara Terbuka Singapura, Julai lalu akan bertemu beregu England, Marcus Ellis-Lauren Smith dalam perebutan tempat ke suku akhir, esok.

Terdahulu, beregu campuran nombor satu negara, Peng Soon-Liu Ying ditunjukkan jalan keluar di pusingan pertama selepas tewas kepada pasangan Belanda, Robin Tabeling-Cheryl Seinen 21-19, 18-21, 18-21.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X