Ahad, 21 Oktober 2018 | 1:05pm
WONG Choong Hann
WONG Choong Hann

Choong Hann tak tunggu tahun depan

KUALA LUMPUR: Sedar masa semakin suntuk, Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang baharu, Wong Choong Hann akan memulakan tugasnya lebih awal, biarpun secara rasmi kontraknya berkuatkuasa pada 1 Januari 2019.

Perlantikan Choong Hann diumumkan secara rasmi oleh badan induk badminton negara itu, semalam.

Dia akan segera bertemu dengan semua ketua jurulatih serta jurulatih, sebaik pulang dari China, esok bagi mengadakan perbincangan berhubung hala tuju dan perancangan yang akan dilaksanakan.

"Saya akan bertemu dengan Pengerusi C&T (Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan), Datuk Ng Chin Chai, ketua jurulatih dan jurulatih dalam masa terdekat, mungkin sebaik saya pulang dari China Isnin ini (esok).

"Saya mahu dapatkan maklumat yang lebih jelas bagi membuat perancangan yang lebih kukuh. Perancangan memang ada, tetapi saya tidak mahu ia hanya perancangan sebelah pihak, sebaliknya perlu membabitkan semua pihak berkepentingan.

"Kerjasama secara berpasukan akan menjadi kunci kepada perancangan yang akan dilaksanakan," kata Choong Hann ketika dihubungi.

Antara satu tugas utama bekas pemain perseorangan lelaki nombor satu dunia itu adalah merealisasikan matlamat meraih pingat emas pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Ini tanggungjawab cukup besar dan memang ini yang saya jangkakan apabila menerima jawatan ini. Namun, masih terlalu awal untuk saya komen panjang mengenai perkara ini.

"Saya harap semua pihak bersabar sebelum saya boleh jelaskan lebih lanjut mengenai perancangan saya," kata bekas naib juara dunia 2003 itu.

Berita Harian X