Khamis, 18 Oktober 2018 | 10:57pm
CHAN Peng Soon dan Goh Liu Ying. - Foto NSTP
CHAN Peng Soon dan Goh Liu Ying. - Foto NSTP

Peng Soon-Liu Ying tumbangkan anak buah bekas sifu

KUALA LUMPUR: Dua beregu campuran negara mengesahkan tempat ke suku akhir Terbuka Denmark selepas menewaskan lawan masing-masing pada pusingan kedua, hari ini.

Chan Peng Soon-Goh Liu Ying cemerlang apabila menewaskan juara Seluruh England 2018 dari Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino 21-18, 21-16 dalam tempoh 42 minit.

Kemenangan itu menyaksikan pilihan keenam kejohanan itu berjaya menumbangkan anak didik bekas sifu mereka, Jeremy Gan yang kini membimbing skuad beregu campuran Jepun.

“Hari ini kami bermain amat baik, kami dapat membaca permainan mereka dengan baik. Namun, saya lihat mereka juga tidak beraksi pada tahap sebenar.

“Jika tidak, perlawanan pasti akan lebih sukar dan jika kami menang sekalipun, ia mungkin menerusi set penentuan,” kata Peng Soon ketika dihubungi, hari ini.

Menanti mereka pada suku akhir esok adalah gandingan Korea Selatan, Seo Seung Jae-Chae Yujung yang mara selepas mengejutkan pilihan keempat dari Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet 21-12, 17-21, 22-20.

Sementara itu, satu lagi pasangan negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai hanya memerlukan tempoh 27 minit untuk mara ke kelompok lapan terbaik apabila menewaskan beregu China, Lu Kai-Chen Lu 21-16, 21-7.

Mereka akan bertemu beregu Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai bagi perebutan tempat ke separuh akhir, esok.

Ketua jurulatih beregu campuran negara, Pang Cheh Chang gembira dengan prestasi dipamerkan dua pasangan itu dan menyifatkan ketenangan sebagai kunci kejayaan mereka hari ini.

“Kedua-dua beregu bermain dengan baik. Mereka lebih tenang dalam mengatur strategi dan tidak terburu-buru. Secara keseluruhan saya puas hati dengan prestasi mereka hari ini dan diharap lebih baik bagi pusingan seterusnya,” kata Cheh Chang.

Berita Harian X