Isnin, 15 Oktober 2018 | 6:59pm
JAGUH badminton perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei peraga pingat ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). - Foto MOHD FADLI HAMZAH
JAGUH badminton perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei peraga pingat ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). - Foto MOHD FADLI HAMZAH

Jin Wei sasar 10 terbaik dunia dalam 2 tahun

 

SEPANG: Pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei meletakkan sasaran peribadi untuk berada di kelompok ranking 10 terbaik dunia dalam tempoh dua tahun lagi selepas memenangi pingat emas Olimpik Belia 2018 di Buenos Aires, Argentina.

Bintang muda negara itu, berkata sasaran itu paling realistik seperti dicapai pemain China, He Bingjiao dan Akane Yamaguchi dari Jepun.

Bingjiao yang memenangi emas Olimpik Belia 2014 di Nanjing ketika ini menghuni ranking nombor lapan dunia manakala Yamaguchi yang meraih perak ketika itu kini di kedudukan nombor dua dunia.

“Saya bukan mahu jadi atau ikut sesiapa tetapi ini adalah sasaran peribadi saya. Sudah pasti saya perlu bekerja keras dan lebih fokus ketika sesi latihan untuk mencapai sasaran itu... ini adalah yang paling realistik untuk saya.

“Jika berjaya capai, sudah pasti ia akan menjadi lebih mudah untuk saya layak ke Olimpik Tokyo 2020,” kata Jin Wei ketika ditemui sebaik tiba dari Buenos Aires di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, hari ini.

Jin Wei, 18, yang ketika ini menghuni ranking ke-27 dunia mencipta sejarah menyumbangkan pingat emas pertama kontinjen Malaysia pada Olimpik Belia hasil kejayaannya menumbangkan pemain China, Wang Zhiyi 16-21, 21-13, 21-18 dalam aksi final.

Dia juga pemain Malaysia pertama memenangi emas Olimpik Belia dan Kejohanan Remaja Dunia di Peru pada 2015.

Mengulas mengenai peluang pada Olimpik Tokyo susulan kejayaan kali ini, Jin Wei berkata dia enggan meletakkan sasaran tinggi sebaliknya fokus untuk layak ke temasya berprestij dunia itu terlebih dulu.

“Tahap saingan di Olimpik berbeza yang mana semua pemain yang beraksi adalah yang terbaik. Ini bukan kejohanan peringkat remaja, ia akan menjadi cabaran sukar. 

“Fokus saya adalah untuk layak dulu kerana dalam tempoh dua tahun apa-apa boleh berlaku. Jadi, saya tidak mahu letak sasaran tinggi,” kata pemain yang berasal dari Pulau Pinang itu.

Dengan usianya sekarang, Jin Wei berpeluang beraksi di pentas Olimpik sekurang-kurangnya empat kali bermula 2020, 2024, 2028 dan 2032 sekali gus meningkatkan peluangnya merealisasikan impian meraih emas pada temasya berkenaan.

Berita Harian X