Selasa, 2 Oktober 2018 | 5:47pm
KETUA jurulatih perseorangan lelaki, Datuk Misbun Sidek. - NSTP/Owee Ah Chun
KETUA jurulatih perseorangan lelaki, Datuk Misbun Sidek. - NSTP/Owee Ah Chun

Chong Wei perlu bersyukur – Misbun

KUALA LUMPUR: Jaguh perseorangan badminton lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei tidak perlu kecewa sekiranya terpaksa membuat keputusan bersara selepas disahkan menghidap kanser hidung tahap awal.

Ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek, berkata pencapaian yang sudah dilakar pemain berusia 36 tahun itu sepanjang kerjayanya termasuk bergelar ‘Raja Siri Super’ dan memegang status pemain nombor satu dunia paling lama tetap sesuatu yang membanggakan.

"Saya tahu dia sudah cuba sedaya upaya untuk memenangi kejohanan seperti Olimpik, Kejohanan Dunia, Sukan Asia dan Piala Thomas. 

Sebagai manusia biasa, tidak semua kita boleh dapat tetapi saya fikir dia juga harus bersyukur dengan apa yang sudah diraihnya," kata Misbun ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara, hari ini.

Sebagai rekod, Chong Wei yang masih berada di Taiwan bagi menjalani rawatan, memenangi pingat perak Olimpik sebanyak tiga kali (2008, 2012 dan 2016) selain tiga kali muncul naib juara dunia (2011, 2013 dan 2015).

CHONG Wei bergelar ‘Raja Siri Super’ dan memegang status pemain nombor satu dunia paling lama tetap sesuatu yang membanggakan. - Arkib NSTP
CHONG Wei bergelar ‘Raja Siri Super’ dan memegang status pemain nombor satu dunia paling lama tetap sesuatu yang membanggakan. - Arkib NSTP

Malah, sepanjang kerjayanya, dia berjaya merekodkan 69 gelaran juara dan 34 naib juara.

Dalam pada itu, Misbun menegaskan, hanya Chong Wei boleh memutuskan sama ada akan terus beraksi secara kompetitif atau bersara.

Katanya, buat masa sekarang beliau sendiri tidak pasti sama ada Chong Wei akan kembali beraksi atau sebaliknya kerana ketika ini bekas pemain nombor satu dunia itu sedang melalui detik paling sukar dalam hidupnya.

"Dia harus tahu sama ada kanser itu boleh merebak atau tidak sekiranya dia kembali meneruskan aktivitinya selain harus tahu kedudukan sebenarnya. 

“Untuk saya, jika dia ingin beraksi lagi dalam masa terdekat, saya tidak ada sebarang masalah kerana dia sudah lalui banyak dugaan dan tahu bagaimana untuk kembali menjadi yang terbaik.

“Dia tahu apa yang dia inginkan dan dia sangat cintakan badminton, kalau dia perlu bersara dalam keadaan seperti ini, dia perlu terima kalau dia nak teruskan, terpulang kepada dirinya. Apa juga keputusan dia, kita semua perlu hormati,” katanya.

Berita Harian X