Rabu, 26 September 2018 | 11:12pm
ROSMAN Razak - Foto Goh Thean Howe
ROSMAN Razak - Foto Goh Thean Howe

Rosman enggan letak tekanan

 

KUALA LUMPUR: Biarpun dibantu tuah yang baik, ketua jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak berkata masih terlalu awal untuknya bercakap mengenai peluang anak-anak buahnya di Terbuka Korea.

Dalam aksi hari ini, pasangan nombor satu negara, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean mara ke pusingan kedua tanpa perlu bermandi peluh, selepas lawannya yang juga pilihan kelima, Lee So Hee-Shin Seung Chan dari Korea Selatan menarik diri hanya dua minit selepas bermula set pertama.

Pasangan Korea Selatan itu menarik diri ketika ketinggalan 5-1.

Tidak lama selepas itu tiba giliran Vivian Hoo-Yap Cheng Wen meraih kemenangan mudah 21-14, 21-12 ke atas pencabar dari Amerika Syarikat, Emily Kan-Isabel Zhong.

"Saya tidak pasti tetapi saya melihat pemain Korea Selatan itu memakai pembalut di bahagian kaki. Saya fikir dia mungkin mengalami kecederaan," kata Rosman ketika dihubungi.

"Bagaimanapun, masih terlalu awal untuk bercakap. Undian sukar menanti kita, jadi saya tidak mahu merosakkan peluang pemain di kejohanan ini. Biarkan mereka mengambil perlawanan demi satu perlawanan."

Mei Kuan-Meng Yean, seterusnya akan berdepan satu lagi pasangan Korea, Chang Ye Na-Jung Kyung Eun manakala Vivian-Cheng Wen bertemu wakil Indonesia, Anggia Shitta Awanda-Ni Ketut Mahadewi Istarani.

Sementara itu, acara beregu lelaki menyaksikan Aaron Chia-Soh Wooi Yik meneruskan prestasi bertenaga apabila melakar kejutan ke atas pasangan berpengalaman dari Thailand, Bodin Isara-Maneepong Jongjit 24-22, 26-24 di pusingan pembukaan.

Mereka dijadualkan menentang pemain China, Huang Kaixiang-Wang Zekang dalam aksi pusingan kedua untuk perebutan tiket ke suku akhir.

Berita Harian X