Khamis, 20 September 2018 | 9:55pm
BEREGU lelaki nombor satu negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong. - Foto Rosli Rahmat

Terbuka China: Tiga beregu negara tersungkur

KUALA LUMPUR: Cabaran pemain badminton negara pada Terbuka China berakhir hari ini selepas tiga beregu yang beraksi pada pusingan kedua tewas di tangan lawan masing-masing.

Paling mengecewakan beregu lelaki nombor satu negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang tewas kepada pasangan Indonesia, Ricky Karandasuwardi-Angga Pratama 14-21, 21-17, 19-21.

V Shem-Wee Kiong yang juga pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 seharusnya menyalahkan diri sendiri apabila mereka hampir melakar kemenangan apabila mendahului 19-17 pada set ketiga tetapi gagal mengekalkan momentum sekali gus membolehkan lawan menyamakan kedudukan dan meraih mata kemenangan.

Nasib juga tidak memihak satu lagi beregu lelaki negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin yang tersingkir pada pusingan kedua selepas tunduk di tangan pilihan kedua kejohanan dari China, Li Junhui-Liu Yuchen.

Mereka bagaimanapun berjaya memberi tentangan sengit sebelum tewas 15-21, 21-17, 17-21.

Turut gagal mara ke suku akhir beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing apabila mereka kalah kepada pilihan keempat dari Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet 21-19, 16-21, 22-24.

Berita Harian X