KUALA LUMPUR: Skuad wanita negara mencerahkan harapan untuk menduduki tempat kelima Kejohanan Skuasy Berpasukan Wanita Dunia 2018 selepas menewaskan Kanada 3-0 dalam aksi klasifikasi 5-8 di Dalian, China.
Low Wee Wern menjadi wakil pertama negara turun di Stadium X-Gang, mempamerkan kebangkitan luar biasa selepas tewas dua set awal sebelum melakar kemenangan 6-1, 8-11, 13-11, 11-2, 11-5 (47 minit) mengatasi Danielle Letourneau bagi meraih mata pertama.
Datuk Nicol David memastikan Malaysia mencipta kemenangan apabila mengambil masa 29 minit mengenepikan Samantha Cornett 11-8, 11-2, 11-8 dan pemain muda, Aifa Azman melengkapkan perlawanan dengan menewaskan Hollie Naughton 11-6, 11-4 untuk kemenangan 3-0.
Skuad negara yang tewas kepada Perancis 2-1 di peringkat suku akhir semalam akan menentang Amerika Syarikat (AS) esok bagi penentuan tempat kelima.
AS yang tewas 0-2 kepada Hong Kong di suku akhir turut melakar kemenangan 3-0 mengatasi New Zealand bagi membolehkan mereka bertemu Malaysia.
Aksi final pula menyaksikan juara bertahan Mesir akan bertemu England, ulangan final dua tahun lalu.
Kedua-dua pasukan melakar kemenangan 2-1 di separuh akhir dengan England menumbangkan Perancis manakala Mesir menumpaskan juara Asia, Hong Kong.