Ahad, 19 Ogos 2018 | 4:08pm
GANDINGAN Pearly Tan-Toh Ee Wei (dua dari kiri) pada majlis penyampaian hadiah yang disempurnakan Azlan Man di Dewan Wawasan 2020, semalam.
GANDINGAN Pearly Tan-Toh Ee Wei (dua dari kiri) pada majlis penyampaian hadiah yang disempurnakan Azlan Man di Dewan Wawasan 2020, semalam.

Puas balas dendam di bumi sendiri

KANGAR: Dendam tumpas di final Kejohanan Remaja Asia bulan lalu segera ditebus beregu wanita negara, Pearly Tan-Toh Ee Wei apabila berjaya muncul juara Kejohanan Remaja Antarabangsa Malaysia di Dewan Wawasan 2020, di sini semalam. 

Gandingan itu yang tumpas tumpas 12-21, 16-21 kepada Febriana Dwipuji Kusuma-Ribka Sugiarto bulan lalu menebusnya dengan menewaskan pasangan Indonesia itu 21-13, 21-18. 

"Kami gembira dengan kejayaan ini dan kali ini kami menggunakan perancangan yang betul untuk mengalahkan mereka, namun sebenarnya paling sukar adalah berdepan pilihan utama (Agatha Imanuela-Siti Fadia Silva Ramadhanti dari Indonesia) di separuh akhir," katanya. 

Kejayaan di Perlis adalah trofi kedua buat pasangan muda negara itu selepas mereka muncul juara di Terbuka Remaja Belanda Mac lalu dan tonik terbaik sebelum beraksi di Kejohanan Remaja Dunia di Markham, Kanada November depan. 

"Secara keseluruhan prestasi kami di sini sangat baik dan saya bersama Pearly mempunyai misi yang sama mahu muncul juara di negara sendiri," kata pemain berusia 18 tahun kelahiran Melaka itu. 

Selepas ini, Pearly-Ee Wei akan menjalani latihan di Wilayah Ehime, Jepun bersama pemain senior iaitu program latihan yang dianjurkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM). 

"Sebaik mengadakan sesi latihan di Ehime saya akan kembali semula ke tanah air untuk menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) di Perak," katanya yang pernah meraih gangsa dalam acara beregu campuran di Kejohanan Remaja Dunia 2016 di Bilbao, Sepanyol bersama Chen Tang Jie. 

Sementara itu, Presiden Persatuan Badminton Perlis (PBPs), A'amar Hashim berpuas hati dengan penganjuran Kejohanan Remaja Antarabangsa Malaysia buat kali kedua berturut-turut. 

"Kami sudah meningkatkan segala kekurangan pada edisi pertama dan sudah semestinya kami berjaya melakukan semua ini berikutan semangat berpasukan dalam kalangan ahli persatuan. Lebih manis kemenangan beregu wanita negara kali ini dicipta di bumi Perlis," katanya yang juga Naib Presiden BAM. 

Turut hadir menyaksikan perlawanan berkenaan dan menyerahkan hadiah kepada pemenang ialah Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man.

Berita Harian X